X

Kindly register in order to view this article
!

500 keluarga terima bantuan kotak rezeki umat

Pengerusi YBK, Datuk Zainal Abidin Sakom berkata, sumbangan tersebut diberikan keutamaan kepada keluarga berpendapatan RM1,500 ke bawah di lapan buah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur.
A
A

PETALING JAYA - 500 keluarga menerima bantuan kotak rezeki umat dengan nilai keseluruhan RM70,000 hasil sumbangan Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) dan Yayasan Kebajikan Muslim (MyFundAction) di sini.

Pengerusi YBK, Datuk Zainal Abidin Sakom berkata, sumbangan tersebut diberikan keutamaan kepada keluarga berpendapatan RM1,500 ke bawah di lapan buah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur.

Menurutnya, setiap keluarga akan menerima sebuah kotak rezeki mengandungi 15 jenis barang keperluan yang dianggarkan boleh bertahan untuk tempoh sebulan.

"Hari ini seramai 250 penerima telah dipilih untuk PPR di Taman Medan Cahaya, Petaling Jaya dan kita akan teruskan sumbangan ini untuk baki penerima di PPR Laksamana Kuala Lumpur esok.

"Penerima ditapis bagi memberi fokus kepada golongan sasar yang benar-benar memerlukan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan tersebut pada Sabtu.

Dalam pada itu, Zainal Abidin turut menggesa semua badan bukan kerajaan (NGO), agensi kerajaan, parti politik dan badan sukarela di kampung serta kawasan perumahan untuk sentiasa mengambil peduli permasalahan yang dialami oleh orang ramai khususnya masyarakat setempat.

Tambahnya, bagi mereka yang mengalami kesempitan wang semasa PKP ini boleh memohon bantuan daripada pihak YBK menerusi laman web mereka atau menerusi aplikasi WhatsApp di talian 011 5645 7832.

Salah seorang penerima yand ditemui, Abd Manap Abu Osman, 64 berkata, dia terharu kerana ada pihak yang prihatin terhadap dirinya dan kesusahan masyarakat di sini.

"Saya bersyukur dan berterima kasih sebab diberi bantuan ini, saya berasa sangat terharu apabila ada yang prihatin terhadap kesusahan kami di sini," katanya.

Bagi Mohd Khirul Ismail, 49 yang telah diberhentikan kerja semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) turut melahirkan kesyukuran dan berterima kasih kepada pihak YBK serta MyFundAction.

"Sebelum ini saya bekerja sebagai operator kilang di sini tetapi telah diberhentikan kerja akibat PKP ini.

"Jadi saya amat bersyukur kerana mendapat rezeki lebih seperti ini. Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada pihak penganjur," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!