Johor hanya benar ibadah korban di rumah sembelihan berdaftar

Pelaksanaan ibadah korban di masjid dan surau di Johor adalah tidak dibenarkan pada tahun ini. - Gambar fail Bernama
Pelaksanaan ibadah korban di masjid dan surau di Johor adalah tidak dibenarkan pada tahun ini. - Gambar fail Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pelaksanaan ibadah korban di Johor pada tahun ini hanya akan dilaksanakan di rumah sembelihan berdaftar dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Johor dan Pejabat Perkhidmatan Veterinar daerah.

Perkara itu dimaklumkan menerusi satu kenyataan bersama Exco Hal Ehwal Agama Islam negeri, Tosrin Jarvanthi; Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad dan Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), Datuk Md Rofiki Samsudin yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam negeri Johor (MAINJ).

Berdasarkan kenyataan itu, pelaksanaan itu meliputi urusan menyembelih, melapah, memotong, menimbang dan membungkus.

“MAINJ telah diperkenankan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang memutuskan bahawa pelaksanaan ibadah korban di masjid dan surau di seluruh Johor meliputi aktiviti terbabit adalah tidak dibenarkan.

“Jawatankuasa pengurusan kariah masjid dan surau yang menganjurkan ibadah korban atau pihak penganjur hendaklah berurusan dengan rumah sembelihan dan bertanggungjawab mengagihkan daging ibadah korban kepada penerima tanpa menggunakan kawasan masjid dan surau sebagai tempat agihan,” menurut kenyataan itu.

Mengikut kenyataan berkenaan, jawatankuasa terlibat perlu mematuhi syarak dan mempunyai Sijil Kesihatan Veterinar serta arahan lain yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Johor.

Bagi menjayakan pelaksanaan ibadah korban tahun ini, pusat penyembelihan berdaftar yang ada sebanyak 115 rumah sembelih sementara, 12 pemegang lesen swasta rumah penyembelihan (ruminan), lima rumah sembelih swasta sementara dan 10 Pejabat Perkhidmatan Veterinar di setiap daerah.

Sementara itu, waktu operasi rumah sembelihan berdaftar pula adalah tertakluk kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Johor dan Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah.

Artikel Berkaitan: