Kerajaan teliti permohonan lanjut operasi perniagaan hingga 10 malam

 Kerajaan mengambil kira permohonan berkenaan namun ia perlu diputuskan mengikut perkembangan semasa fokus pemulihan Covid-19 kini.- Gambar hiasan.
Kerajaan mengambil kira permohonan berkenaan namun ia perlu diputuskan mengikut perkembangan semasa fokus pemulihan Covid-19 kini.- Gambar hiasan.
A
A
A

JELI - Kerajaan sedang meneliti permohonan daripada pelbagai pihak melibatkan lanjutan operasi perniagaan sektor ekonomi dari jam 8 hingga 10 malam dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kerajaan mengambil kira permohonan berkenaan namun ia perlu diputuskan mengikut perkembangan semasa fokus pemulihan Covid-19 kini.

Menurutnya, tiga badan utama iaitu Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Kewangan diberikan tanggungjawab bagi membincangkan perkara berkenaan sebelum sebarang keputusan dilakukan.

"Banyak permohonan dibuat, malah melalui perbincangan dengan penggiat industri, mereka juga memohon perkara yang sama iaitu lanjutan operasi sehingga 10 malam. Bagaimanapun perkara ini masih lagi dalam pertimbangan. Pagi tadi pun kita ada perbincangan dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Dimaklumkan juga mengenai lanjutan operasi perniagaan, moratarium dan hal-hal lain termasuklah juga isu subsidi upah, bekalan makanan dan sebagainya.

"Buat masa sekarang ini belum ada keputusan, cuma kita akui memang menerima pelbagai permohonan melibatkan isu tersebut," katanya kepada pemberita ketika melakukan tinjauan ke Program Outreach Covid-19 di Pejabat Ahli Parlimen Jeli sini pada Sabtu.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Zaini Husin.

Mengulas lanjut, Mustapa yang juga Ahli Parlimen Jeli itu berkata, kerajaan kini berdepan dua kelompok masyarakat iaitu satu kumpulan yang mendesak agar kerajaan tidak membuka terlalu banyak sektor ekonomi bagi memberi fokus sepenuhnya kepada pemulihan terhadap Covid-19 dalam jangka masa pendek.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, katanya, satu kumpulan lagi menggesa pembukaan semula ekonomi yang melibatkan peniaga-peniaga kecil, terutamanya mereka yang terlibat dalam perusahaan industri kecil dan sederhana (IKS).

"Mereka rasa terhimpit dan mahu kerajaan melonggarkan waktu perniagaan dan sebagainya. Jadi dalam menguruskan krisis ini, kita kena tengok yang mana terbaik untuk negara iaitu ada keseimbangan antara dua pihak kerana ia melibatkan dua kumpulan masyarakat yang berlainan pendapat.

"Sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab kita perlu lihat daripada pelbagai sudut iaitu kesihatan dan ekonomi. Mengenai moratarium pula, memang ramai yang tanya, namun perkara ini sedang dikaji dengan teliti oleh Kementerian Kewangan dan agensi perbankan. Jadi sama-sama kita tunggu keputusannya nanti," katanya.