X

Kindly register in order to view this article
!

Kerajaan perlu gubal Akta Generasi Masa Depan: MBM

Jufitri Joha pada Majlis Perasmian dan Pelancaran Malaysian Youth Anti-Corruption Task Force (MYACT) yang diadakan secara maya pada Sabtu.
A
A

SHAH ALAM - Majlis Belia Malaysia (MBM) mencadangkan kerajaan menggubal undang-undang Akta Generasi Masa Depan agar generasi muda pada masa akan datang dapat mewarisi negara dalam keadaan bebas rasuah.

Presiden MBM, Jufitri Joha berkata, kerajaan seharusnya memikirkan hak dan kesejahteraan generasi masa depan dalam setiap keputusan dan dasar yang dibuat.

“Ini kerana generasi masa depan negara perlu dipertahankan serta dipelihara daripada tangan-tangan rakus yang hanya memikirkan kepentingan mereka malah langsung tidak mempedulikan nasib dan masa depan generasi muda,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian dan Pelancaran Malaysian Youth Anti-Corruption Task Force (MYACT) yang diadakan secara maya pada Sabtu.

Antara yang terlibat dalam sesi tersebut ialah Ketua Pasukan Rasuah Busters merangkap Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub, Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Razim Mohd Noor dan Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Ahmad Farhan Rosli.

Dalam pada itu, Jufitri turut menyambut baik program MYACT yang dianjurkan PKPIM kerana ia merupakan satu agenda penting dalam usaha membasmi budaya rasuah di negara khususnya dalam kalangan belia dan mahasiswa.

Tambah beliau, pemimpin gerakan belia juga merupakan pendidik informal atau 'informal educators' sama seperti guru dan pensyarah di sekolah, universiti serta institut latihan kemahiran.

Majlis Perasmian dan Pelancaran Malaysian Youth Anti-Corruption Task Force (MYACT) yang diadakan secara maya pada Sabtu.
Majlis Perasmian dan Pelancaran Malaysian Youth Anti-Corruption Task Force (MYACT) yang diadakan secara maya pada Sabtu.

“Saya percaya anak-anak muda pada hari ini lebih efisien apabila mereka dilatih dan dididik dalam 'setting' yang begitu informal. Malah, saya juga yakin gerakan belia seperti PKPIM boleh melaksanakan pendidikan secara besar-besaran kepada anak muda kita,” katanya.

Jufitri berkata, pelbagai usaha boleh dilakukan untuk mendidik belia dan masyarakat memahami kesan serta bahaya rasuah.

“Setiap daripada ahli-ahli PKPIM, MBM malah masyarakat sendiri sebenarnya ada peranan yang signifikan untuk mewujudkan apa yang disebut sebagai kesan-kesan kecil yang mana apabila bergabung ia akan mewujudkan satu gelombang yang besar.

“Justeru, kita tidak boleh berdiam diri. Kita tahu kesan rasuah boleh menyebabkan kehilangan nyawa seseorang, bukan satu dua jiwa, malah lebih ramai lagi yang akan terbunuh kerana terlibat rasuah,” katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!