'Agong ada kuasa panggil ahli Parlimen bersidang bila-bila masa'

Ahmad Zahid
Ahmad Zahid
A
A
A

SHAH ALAM - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Mustafa Billah Shah mempunyai kuasa memanggil ahli Parlimen untuk kembali bersidang pada bila-bila masa.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia berdasarkan Artikel 55 Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan bahawa hanya Seri Paduka Baginda yang boleh memanggil Parlimen untuk bersidang.

Menurutnya, Seri Paduka Baginda mempunyai kuasa mutlak untuk menghentikan atau membubarkan Parlimen berdasarkan undang-undang tersebut.

"Jika pun Ordinan Darurat telah mengatasi Perlembagaan Persekutuan, maka Yang di-Pertuan Agong boleh mengarahkan Parlimen bersidang tanpa nasihat Perdana Menteri.

"Ini kerana apabila Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan tidak terpakai, maka Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan iaitu Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat kabinet juga tidak terpakai," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, Ordinan Darurat turut memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil sidang Parlimen tanpa perlu menunggu nasihat Perdana Menteri.

"Seksyen 14 Ordinan Darurat memperuntukkan sidang Parlimen boleh dipanggil, diprorog dan dibubar pada satu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Yang di-Pertuan Agong sepanjang tempoh darurat berkuat kuasa.

"Seksyen 15 Ordinan Darurat pula memperuntukkan Yang di-Pertuan Agong boleh memanggil, memprorog dan membubar sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas berunding dengan Raja dan Yang di-Pertua Negeri," katanya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu menjelaskan bahawa secara umum semua pandangan itu mengilhamkan resolusi Yang di-Pertuan Agong sememangnya boleh memanggil sidang Parlimen diadakan pada bila-bila masa.

Artikel Berkaitan:

"Pandangan-pandangan itu dilihat selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong pada 24 Februari 2021 bahawa sidang Parlimen boleh diadakan sepanjang tempoh darurat dan terkini dalam titahnya agar kembali bersidang secepat mungkin," katanya.

Pada Rabu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin bagi menangani Covid-19 dan menyelamatkan ekonomi negara.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dilaporkan berkata, perkara itu perlu dilaksanakan bagi membolehkan Ordinan-ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan oleh Ahli-ahli Dewan Rakyat.

ARTIKEL BERKAITAN Agong zahir pandangan sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin

Tubuh Suruhanjaya Kedaulatan Negara: Pak Wan

Buka segera atau tunggu September?

PM boleh ubah tarikh persidangan