X

Kindly register in order to view this article
!

Enam PPV akan dibuka di Perak bulan depan

Pembukaan enam PPV yang berupaya memberi 2,600 perkhidmatan suntikan sehari itu akan membolehkan lebih ramai penduduk terutama di luar bandar mendapatkan vaksinasi. - Gambar hiasan.
A
A

LARUT - Sebanyak enam Pusat Pemberian Vaksin (PPV) akan dibuka di Perak pada awal Julai ini bagi meningkatkan pemberian vaksinasi kepada penduduk di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Akmal Kamarudin berkata, PPV berkenaan membabitkan Dewan Serbaguna Majlis Daerah Selama (Selama), Dewan Majlis Daerah Gopeng (Gopeng), Dewan Inderawati Beruas, Dewan Sungai Siput, Dewan Felcra Seberang Perak dan Dewan Merdeka Lenggong.

Beliau berkata, pembukaan enam PPV yang berupaya memberi 2,600 perkhidmatan suntikan sehari itu akan membolehkan lebih ramai penduduk terutama di luar bandar mendapatkan vaksinasi sekali gus mempercepatkan usaha mencapai 80 peratus penduduk negeri itu divaksin.

“Setakat ini, seramai 233,298 orang di negeri ini telah mendapat vaksinasi bagi dos pertama hingga Rabu lepas manakala seramai 138,403 orang telah diberikan dos kedua pada tempoh sama,” katanya pada sidang akhbar selepas melawat Klinik Kesihatan Sungai Bayor di Selama pada Sabtu.

Mohd Akmal berkata, penduduk yang tidak mempunyai kemudahan telefon pintar diminta membuat pendaftaran di mana-mana klinik kesihatan, pejabat daerah dan pejabat penghulu bagi membolehkan mereka didaftarkan melalui MySejahtera.

“Mereka diminta memberi nama, nombor kad pengenalan, alamat dan nombor telefon untuk didaftar,” katanya.

Sementara itu, Mohd Akmal berkata, Program Outreach yang dilaksanakan di Klinik Kesihatan Sungai Bayor di Selama mendapat sambutan menggalakkan dengan seramai 600 orang telah mendaftar untuk mendapatkan vaksin sejak empat hari lepas.

“Pada hari ini, seramai 150 orang diberikan suntikan dan 150 lagi menerima suntikan pada esok manakala bakinya akan diberikan suntikan di PPV Selama,” katanya. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!