X

Kindly register in order to view this article
!

PPV masjid tepis fahaman negatif terhadap vaksin

Ahmad Amzad (kanan) bertemu dengan salah seorang penerima vaksin warga emas, Fatimah Salleh, 71 yang mendapatkan dos pertama suntikan vaksin di PPV Masjid At-Taqwa Kampun Durian Burung, di Kuala Terengganu pada Sabtu.
A
A

KUALA TERENGGANU - Penubuhan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di masjid secara tidak langsung dapat menarik minat dan kesedaran lebih ramai individu untuk tampil mendapatkan suntikan vaksin sekali gus menepis fahaman negatif yang disebarkan pihak tidak bertanggungjawab.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, ia sejajar dengan peranan dimainkan masjid yang lebih dekat dengan umat Islam di negara ini.

"Masjid begitu dekat di hati umat Islam. Sebelum ini kita berdepan beberapa kekangan berhubung dakyah negatif terhadap vaksin misalnya mereka menyifatkan vaksin sebagai agenda musuh Islam.

"Namun dengan adanya pendekatan ini, ia akan sedikit sebanyak menimbulkan minat, kesedaran dan kefahaman kepada komuniti yang tinggal berdekatan masjid," katanya kepada pemberita selepas melawat PPV masjid pertama di Terengganu bertempat di Masjid At-Taqwa, Kampung Durian Burung, di sini pada Sabtu.

Ahmad Amzad berkata, sebagai permulaan, dijangkakan sebuah PPV masjid akan beroperasi di setiap daerah di negeri ini dengan sasaran 500 dos suntikan diberikan bagi membantu melancarkan proses pemberian vaksin.

Selain itu, katanya, pihaknya turut menerima dan mempertimbangkan penubuhan PPV di rumah ibadat lain.

Katanya, pemberian vaksin di masjid yang akan melibatkan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat tidak hanya tertakluk kepada orang Islam sahaja malah ia turut mengalu-alukan individu bukan beragama Islam.

"PPV di Masjid At-Taqwa, Kampung Durian Burung adalah pilot projek di Terengganu yang dijalankan secara lebih tersusun dengan pemantauan penuh oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"PPV ini merupakan hasil kerjasama dijalankan oleh sukarelawan Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (Papisma)," katanya.

Dalam pada itu, katanya, beliau menjangkakan sebanyak 16,000 suntikan vaksin akan diberikan oleh seluruh PPV masjid di semua daerah di negeri ini dengan purata 500 suntikan bagi setiap masjid.

Bagaimanapun, katanya, ia bergantung kepada bekalan vaksin yang diterima dan dijangkakan mencecah 2 juta dos setiap minggu bermula Julai depan.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!