Tukang gunting rambut mohon dibenar beroperasi

Pengusaha kedai gunting rambut merayu kepada kerajaan agar memberi kelonggaran dalam tempoh PKP. - Gambar hiasan
Pengusaha kedai gunting rambut merayu kepada kerajaan agar memberi kelonggaran dalam tempoh PKP. - Gambar hiasan
A
A
A

GEORGETOWN - Persatuan penggunting rambut India, Maruthuvar Sangam Pulau Pinang merayu kerajaan mempertimbangkan untuk membenarkan perkhidmatan gunting rambut beroperasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 memandangkan kebanyakan ahlinya dalam golongan berpendapatan rendah (B40), kini kehilangan punca pendapatan.

Bendaharinya V Tharmaraj berkata, persatuan berharap kerajaan menerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) melihat perkhidmatan gunting rambut sebagai perkhidmatan perlu dalam masyarakat.

"Kami berharap kerajaan dapat memberikan perhatian kepada kami (penggunting rambut) yang kini tidak mempunyai apa-apa sumber pendapatan dan tidak menerima sebarang bantuan," katanya kepada Bernama hari ini.

Tharmaraj berkata, seramai 200 penggunting rambut di bawah persatuan itu bersedia menerima suntikan vaksin Covid-19 sebagai langkah awal dibenarkan beroperasi sekali gus membantu negara mencapai imuniti kelompok.

Menurutnya, penggunting rambut dan pemilik premis juga akan mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan sekiranya dibenar beroperasi.

"Pada pendapat saya, adalah tidak wajar sekiranya masyarakat perlu menunggu hingga kes harian Covid-19 mencecah kurang daripada 2,000 kes sehari dalam fasa ketiga yang dijangkakan sekitar September dan Oktober nanti untuk mendapatkan khidmat gunting rambut," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Kebajikan Jurugaya Rambut India Zon Utara S.Buvaneswaran memohon kerajaan memberikan pinjaman kewangan tanpa faedah kepada pemilik premis gunting rambut supaya mereka mampu pulih seperti sektor lain selepas keadaan pandemik terkawal.

"Kami ingin memohon kerajaan memberikan kelonggaran pinjaman kewangan supaya kami dapat beroperasi semula," katanya menerusi kenyataan.- Bernama

Artikel Berkaitan: