Dua tekong darat tak sempat hantar PATI

Sebahagian daripada PATI warga Thailand yang ditahan PGA Batalion 7 Kuantan di Rantau Panjang pada Jumaat.
Sebahagian daripada PATI warga Thailand yang ditahan PGA Batalion 7 Kuantan di Rantau Panjang pada Jumaat.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Seorang lelaki berusia 45 tahun dan kelindan warga tempatan yang disyaki sebagai tekong darat gagal membantu tujuh pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Thailand pulang ke negara mereka apabila ditahan pada Jumaat.

Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7, Superintendan Azhari Nusi berkata, kedua-dua tekong darat dan tujuh PATI warga Thailand itu ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 Kuantan pada jam 6 petang.

"Pemeriksaan pasport mendapati pas lawatan semua warga Thailand itu telah tamat tempoh," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kesemua PATI itu kemungkinan memasuki Malaysia menggunakan jalan yang tidak diwartakan.

Menurutnya, siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Seskyen 6 (3) Imigresen 1959/63.

Tambahnya, pihaknya turut merampas van yang digunakan untuk tujuan berkenaan yang dianggarkan berjumlah RM120,000.

Azhari memberitahu, tangkapan dibuat ketika rondaan rutin sepasukan anggotanya yang ternampak sebuah van dipandu dalam keadaan mencurigakan dari arah Lubok Gong menghala ke Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Rantau Panjang.

"Anggota PGA kemudian bertindak menahan van tersebut dan mengarahkan pemandu berhenti di tepi jalan untuk pemeriksaan sebelum mendapati lelaki itu membawa PATI.

Artikel Berkaitan:

"Kesemua PATI dan dua tekong itu dibawa ke Kompeni Taktikal (Komtak) Taman Bakti Rantau Panjang untuk pemeriksaan lanjut," katanya.