X

Kindly register in order to view this article
!

Kisah Nik Aziz dan Bersih

Nik Aziz berkongsi gambar ketika menyertai himpunan Bersih di laman sosialnya.
A
A

SEMENYIH - Calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Nik Aziz Afiq Abdul berkongsi pengalaman suka duka ketika menyertai empat himpunan Bersih.

Nik Aziz berkata, beliau menyertai himpunan Bersih yang pertama ketika berusia 13 tahun.

"Pada ketika itu saya menaiki komuter Bangi dengan perasaan takut dan tidak berani memakai baju kuning. Ia merupakan demonstrasi pertama yang saya sertai," katanya.

Nik Aziz berkata, beliau tidak dapat menyertai himpunan Bersih yang kedua pada 2011 kerana dilarang melibatkan diri dalam apa-apa program luar.

"Saya juga perlu menumpukan perhatian untuk menduduki Sijil Pelajaran Malaysia," katanya.

Menurutnya, ketika himpunan Bersih ketiga pula, beliau bertugas untuk kawalan keselamatan di bawah Skuad Keselamatan Pas Selangor (SKEPS).

"Saya mengiringi dan bertugas memastikan alat pembesar suara terjaga dan selamat daripada dirampas oleh pihak lain," katanya.

Beliau berkata, himpunan Bersih yang keempat pula merupakan detik bersejarah apabila beliau menyertai himpunan itu sebagai anggota PSM.

"Saya turut membantu menguruskan salah satu 'checkpoint'. Pengalaman paling unik adalah saya bersama ribuan individu lain tidur di Jalan Tun Perak," katanya. Nik Aziz berkata, beliau mengalami kemalangan sebelum himpunan Bersih kelima.

"Sepatutnya saya bertugas sebagai salah seorang mengawal keselamatan perserta, di atas pertolongan rakan-rakan, saya sampai juga di himpunan itu," katanya.

Nik Aziz berkata, apabila dirinya diumumkan menjadi calon PSM pada PRK DUN Semenyih, pihak Bersih telah menghubunginya.

"Mereka mahu menjemput saya menyertai program debat antara calon. Saya telah menyatakan kesediaan," katanya.

Nik Aziz berkata, beliau menyahut seruan debat itu, walaupun rasa sangat kerdil jika dibanding calon lain yang lebih berusia, berpengalaman dan berpendidikan tinggi.

"Saya ketepikan perasaan sendiri kerana saya mendokong cita-cita untuk memperhebatkan sistem pilihanraya kita," katanya.

Beliau berkata, pihaknya dimaklumkan oleh penganjur bahawa program debat yang sepatutnya diadakan di sebuah universiti swasta, Isnin, dibatalkan kerana calon PH dan BN tidak mahu menyertai program itu.

"Saya kecewa kerana peluanguntuk menjadikan pengundi Semenyih merasai pengalaman pilihanraya baharu dan lebih baik untuk menilai calon-calon bertanding tidak dihargai," katanya. Nik Aziz berkata, walaubagaimanapun beliau akan hadir pada Wacana Sinar, 27 Februari ini.

"Walaupun sepatutnya menampilkan empat calon PRK DUN Semenyih, namun saya difahamkan hanya saya dan calon Bebas, Kuan Chee Heng atau lebih dikenali 'Uncle Kentang' yang setuju untuk hadir pada program itu.

"Tahniah Sinar Harian kerana teguh meneruskan program ini," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus