Malaysia, Arab Saudi kerjasama pulihkan industri pelancongan

Nancy Shukri
Nancy Shukri
A
A
A

PUTRAJAYA - Malaysia dan Arab Saudi bekerjasama untuk memulihkan semula industri pelancongan daripada impak pandemik Covid-19 menerusi beberapa inisiatif termasuk promosi di media sosial, kata Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Menurut MOTAC, usaha itu dibincangkan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri bersama Menteri Pelancongan Arab Saudi, Ahmed Al-Khateeb secara maya, baru-baru ini.

“Antara yang dibincangkan adalah perkongsian maklumat berhubung polisi dan amalan terbaik untuk memulihkan semula industri pelancongan, promosi bersama pelancongan menerusi media sosial dan platform digital untuk meningkatkan permintaan perjalanan bagi kedua-dua negara serta perkongsian maklumat dan amalan terbaik dalam pengurusan lestari tapak warisan kebudayaan sebagai tarikan pelancongan,” menurut MOTAC menerusi kenyataan pada Sabtu.

Turut dibincangkan adalah hubungan kerjasama erat antara institusi seni, warisan dan budaya serta promosi dalam Pelancongan Mesra Muslim.

“Perbincangan ini dijangka dapat membuka peluang yang lebih besar dalam bidang pelancongan antara Malaysia dan Arab Saudi khususnya serta negara-negara di Timur Tengah amnya.

Jumlah kemasukan pelancong dari Arab Saudi ke Malaysia pada 2019 adalah seramai 121,444 orang daripada jumlah keseluruhan pelancong antarabangsa sebanyak 26.1 juta," menurut MOTAC.

Menurut MOTAC, dalam pertemuan yang turut disertai Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Dr Noor Zari Hamat itu, Arab Saudi turut berkongsi pengalaman berhubung pelancongan luar bandar manakala Malaysia pula sedang mengenal pasti pelbagai produk pelancongan baharu termasuk 'permata tersembunyi' yang belum diterokai untuk dipromosikan ke luar negara. - Bernama

Artikel Berkaitan: