'Segera keluarkan notis panggilan sidang Parlimen'

Asyraf Wajdi
Asyraf Wajdi
A
A
A

SHAH ALAM - Pemuda UMNO mendesak supaya kerajaan segera mengeluarkan notis panggilan bagi membolehkan Parlimen bersidang sebelum darurat tamat pada 1 Ogos ini sebagai mentaati titah pandangan dan pendirian Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja-raja Melayu.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, istilah secepat mungkin yang digunakan Seri Paduka Baginda itu amat jelas memberikan indikasi untuk Parlimen dibuka segera.

"Ini diperkukuhkan lagi oleh kenyataan media Penyimpan Mohor Besar Raja-raja yang menzahirkan sokongan Raja-raja Pemerintah turut senada dengan pendirian Yang di-Pertuan Agong yang menitahkan agar Parlimen segera bersidang.

"Bagi Pemuda UMNO, sidang Parlimen ini amat mustahak untuk disegerakan bagi membolehkan suara, harapan dan pelbagai tuntutan rakyat yang dalam keresahan dan kesempitan akibat pandemik Covid-19 dapat diperbahaskan secara rasmi oleh wakil-wakil mereka yan dipiilih melalui sistem demokrasi berparlimen," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Menurut beliau, kegagalan melaksanakan titah Al-Sultan Abdullah dan Raja-raja Melayu ini boleh dianggap sebagai satu bentuk penderhakaan.

"Pemuda juga amat terkilan dengan sikap kerajaan yang dilihat cuba dolak-dalik istilah ‘secepat mungkin’ dan ‘segera’ seolah-olah tidak menghormati titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN:Agong zahir pandangan sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin

Pada Rabu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin bagi menangani Covid-19 dan menyelamatkan ekonomi negara.

Artikel Berkaitan:

Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, perkara itu perlu dilaksanakan untuk membolehkan Ordinan-ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan oleh Ahli-ahli Dewan Rakyat.

Ahmad Fadil berkata, Yang di-Pertuan Agong turut menzahirkan pandangan bahawa perlu adanya pentadbiran kerajaan yang stabil dan kukuh serta berupaya berfungsi dengan efektif dalam menangani wabak Covid-19 serta memulihkan ekonomi negara.

Pendirian Al-Sultan Abdullah itu disokong Raja-raja Melayu bahawa tiada keperluan untuk meletakkan negara di bawah pemerintahan darurat selepas 1 Ogos ini.

Menurut Penyimpan Mohor Besar Raja-raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad, raja-raja pemerintah berpendirian pentingnya mekanisme semak dan imbang antara cabang eksekutif, legaslatif dan kehakiman dihormati.