X

Kindly register in order to view this article
!

Faktor luaran pengaruhi prestasi ringgit minggu depan

Ringgit dijangka diniagakan rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan dengan sebahagian besarnya dipengaruhi oleh perkembangan faktor luaran. - Gambar hiasan
A
A

RINGGIT dijangka diniagakan rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan dengan sebahagian besarnya dipengaruhi oleh perkembangan faktor luaran.

Peniaga ActivTrades, Dyogenes Rodrigues Diniz berkata, sejajar unjuran prospek dasar monetari AS, senario paling dijangka adalah ringgit berkemungkinan diasak tekanan pada jajaran 4.1750 sebagai sasaran pertama manakala unjuran akhir pada 4.2200 dalam tempoh dua bulan hingga empat bulan akan datang.

Menurutnya, walaupun pihak Rizab Persekutuan AS (Fed) tidak membuat sebarang perubahan kadar faedah, kalangan pembuat dasar sudah mula mengubah pandangan terhadap inflasi, pakej rangsangan dan kadar faedah negara tersebut.

“Seramai 18 ahli yang mengundi dan tujuh daripadanya berpendapat bahawa pihak Fed perlu menghentikan bantuan rangsangan yang diberikan.

“Walaupun tiada sebarang perubahan secara material, namun pasaran sudah menerima jangkaan itu yang hanya mendorong pengukuhan dolar AS,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim juga sependapat dan berkata, walaupun terdapat sentimen positif di Malaysia membabitkan perkembangan usaha vaksinasi, faktor luaran mengenai kemungkinan pihak Fed menaikkan kadar faedah lebih awal, akan terus menjejaskan mata wang negara sedang pesat membangun, termasuk ringgit.

"Dalam persekitaran peningkatan landskap ekonomi di AS, mata wang dolar itu dijangka terus mengukuh dan berkemungkinan menyaksikan ringgit diniagakan pada paras 4.13 hingga 4.15 hingga dolar minggu depan," katanya.

Sementara itu, Penganalisis Kanan OANDA bagi Pasaran Asia Pasifik, Jeffrey Halley berkata, ringgit masih boleh meraih sokongan daripada harga minyak yang dijangka meningkat minggu depan.

Malah, terdapat laporan bahawa minyak mentah penanda aras global, Brent akan melepasi paras AS$80 setong susulan peningkatan penggunaan global akibat kelonggaran sekatan perjalanan.

Permintaan minyak dunia juga dikatakan akan mencecah paras tertinggi pada Ogos depan.

“Saya menjangkakan ringgit-dolar AS menguji paras 4.15 pada awal minggu depan sebelum mencecah 4.16. Ia mungkin menguji paras 4.18 jika dolar AS terus kukuh," katanya.

Bagi asas mingguan, ringgit susut berbanding dolar AS kepada 4.1380/1410 daripada 4.1070/1100 pada minggu sebelumnya.

Ringgit bagaimanapun kebanyakannya mengukuh berbanding mata wang utama lain.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0851/0875 daripada 3.1034/1059 seminggu sebelumnya.

Namun berbanding yen, ringgit susut kepada 3.7570/7598 daripada 3.7500/7531 sebelum ini.

Unit tempatan itu mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.7526/7568 daripada 5.8094/8140 dan berbanding euro, ringgit naik kepada 4.9308/9344 daripada 4.9908/9945, sebelum ini. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!