PPV mega Stadium Bukit Jalil mula operasi 21 Jun

Reezal Merican melihat persiapan PPV Stadium Bukit Jalil yang akan mula beroperasi 21 Jun ini.
Reezal Merican melihat persiapan PPV Stadium Bukit Jalil yang akan mula beroperasi 21 Jun ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Stadium Nasional Bukit Jalil dijangka beroperasi bermula 21 Jun ini dengan kemampuan kapasiti sehingga 10,000 dos sehari, kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Beliau berkata, PPV berskala besar itu membolehkan lebih ramai rakyat khususnya di sekitar Lembah Klang divaksin, dengan tumpuan kepada rakyat yang berusia 40 tahun ke bawah.

“Seluruh trek balapan stadium ini telah bertukar wajah menjadi ruang untuk urusan vaksinasi selaras dengan Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan Perdana Menteri.

“Ini merupakan sebahagian usaha KBS (Kementerian Belia dan Sukan) menjayakan inisiatif yang diterajui oleh Khairy Jamaluddin dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan melalui penggunaan fasiliti secara optimum.

“Insya-ALLAH, dengan ikhtiar ini kita akan dapat meningkatkan kadar vaksinasi dalam kalangan rakyat dengan lebih cepat lagi,” katanya menerusi kenyataan dalam Facebook rasmi beliau malam Jumaat.

Reezal Merican berkata, pada peringkat awal, seramai 60 sukarelawan MYVAC di bawah kelolaan KBS akan berkhidmat di situ dan jumlah itu akan ditambah mengikut keperluan.

Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai untuk segera mendaftar dan sentiasa menyemak status janji temu mereka melalui aplikasi MySejahtera.

Reezal Merican juga berkata, Stadium Tertutup Axiata Arena telah mula beroperasi sebagai PPV bagi tujuan yang sama sejak 7 Jun lepas. - Bernama

Artikel Berkaitan: