X

Kindly register in order to view this article
!

47 minit bergelut dengan ular sawa

Siti Noraisyah (kanan) bersama anggota APM Bagan Datuk menunjukkan ular sawa yang ditangkap bersama telur di Sungai Dulang, Bagan Datuk pada Jumaat.
A
A

BAGAN DATUK - Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Bagan Datuk terpaksa bergelut selama kira-kira 47 minit sebelum berjaya menangkap seekor ular sawa yang ditemui di kawasan kebun berhampiran Pejabat Lembaga Koko Malaysia, Sungai Dulang, di sini pada Jumaat.

Pegawai APM Bagan Datuk, Kapten (PA) Mohd Zaidi Ahmad berkata, tangkapan ular sawa itu dibuat selepas mendapat panggilan pada jam 10.44 pagi daripada orang awam yang menjumpai reptilia itu ketika sedang membersihkan kebun.

Menurutnya, ketika tangkapan dibuat oleh empat anggota yang diketuai Lans Koperal Siti Noraisyah Abdul Malik itu, sebanyak 25 biji telur turut ditemui berhampiran ular sawa tersebut di dalam semak.

"Anggota yang terlibat mengambil masa untuk menangkap ular sawa tersebut kerana terlalu agresif.

Keadaan itu mungkin disebabkan ular sawa berkenaan mahu melindungi telur.

"Kita menggunakan penjerut dan sangkar untuk menangkap ular sawa berkenaan.

Ini antara kes tangkapan ular yang paling besar kita terima setakat ini.

Kes-kes yang terima sebelum ini hanya melibatkan spesies ular kecil," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Menurutnya, ular sawa sepanjang enam meter itu kemudiannya dibawa ke Pejabat APM Bagan Datuk sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Mohd Zaidi berkata, sejak Januari sehingga 18 Jun 2021, sebanyak 73 kes berkaitan ular diterima pihak APM Bagan Datuk.

Mohd Zaidi menasihati orang ramai supaya berhati-hati dan tidak panik jika berdepan dengan ular mahupun haiwan berbisa yang lain.

Jelasnya, elakkan cubaan untuk bermain dengan ular tersebut sebaliknya jauhkan diri bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

Katanya, jika mana-mana individu menjumpai haiwan tersebut, mereka boleh menghubungi talian kecemasan 999 untuk mendapatkan bantuan pasukan penyelamat.

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita, dua anak saudara dipatuk ular tedung tikus


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!