X

Kindly register in order to view this article
!

Penoreh getah rugi RM99,000 ditipu kekasih maya

Mangsa mengeluarkan wang persaraannya bagi membantu wanita terbabit yang kononnya menghadapi masalah perniagaan. (Gambar hiasan) - Foto 123RF
A
A

JEMPOL - Seorang penoreh getah mengalami kerugian RM99,000 selepas diperdaya sindiket Love Scam.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, mangsa berusia 58 tahun berkenalan dengan seorang wanita bernama Sarah Wong di media sosial Facebook pada Februari lepas.

"Wanita berkenaan mendakwa dia adalah warganegara Singapura yang menetap di Australia seterusnya mereka menjalinkan hubungan lanjut secara maya melalui WhatsApp, namun tidak pernah membuat panggilan telefon ataupun video sepanjang perkenalan itu.

"Dalam tempoh perhubungan tersebut, teman wanitanya menceritakan tentang perniagaan yang dijalankan iaitu berkaitan minyak mentah di luar negara," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Chang Hook berkata, wanita tersebut mendakwa menghadapi masalah perniagaan dan dia meminta mangsa meminjamkan wang kepadanya.

"Percaya dengan perhubungan yang terjalin, mangsa telah meminjamkan sejumlah wang kepada wanita tersebut.

"Mangsa telah melakukan enam kali transaksi berjumlah RM99,000 pada 9 dan 10 Jun lepas ke satu akaun bank CIMB dan dimaklumkan akaun itu merupakan akaun pekerja wanita tersebut yang menguruskan kewangan syarikat," katanya.

Katanya, setelah selesai urusan kemasukan wang tersebut, wanita berkenaan meminta wang tambahan berjumlah RM131,000 dengan alasan kewangan syarikat masih lagi tidak dapat diselesaikan.

"Mangsa yang curiga kemudiannya membuat laporan polis pada Khamis dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Chang Hook berkata, mangsa merupakan seorang pesara swasta dan kini bekerja sebagai penoreh getah, manakala wang berkenaan adalah wang persaraan yang diperoleh daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!