83 kes sarang serangga diselesaikan APM Lipis

Anggota APM daerah Lipis memusnahkan sarang tebuan di Kolej Vokasional pada Jumaat. (Gambar kecil: Mohd Nor Azhar)
Anggota APM daerah Lipis memusnahkan sarang tebuan di Kolej Vokasional pada Jumaat. (Gambar kecil: Mohd Nor Azhar)
A
A
A

KUANTAN - Sebanyak 83 kes memusnahkan sarang serangga berjaya diselesaikan Angkatan Pertahanan Awam (APM) daerah Lipis dalam tempoh enam bulan.

Pegawai APM daerah Lipis, Kapten (PA) Mohd Nor Azhar Yusof berkata, kes aduan serangga berbisa melibatkan lebah dan tebuan paling banyak diterima antara lima hingga 30 kes pada setiap bulan.

Menurutnya, bagaimanapun aduan berkaitan serangga berkenaan akan meningkat lagi terutama ketika musim kemarau.

"Kes paling tinggi direkodkan ialah pada bulan Mei iaitu sebanyak 34 kes diikuti Jun (15), April (13), Februari (11), Mac (6) dan Januari pula sebanyak lima kes.

"Kebiasaannya, bila terima aduan kita akan membantu memusnahkan sarang lebah dan tebuan di pokok dan juga kediaman," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

Beliau menjelaskan, pada setiap operasi, seramai empat anggota akan terlibat dan perlu memakai pakaian khas sebagai langkah keselamatan.

"Kebiasaannya kita akan lakukan pada waktu malam kerana sifat serangga ini yang kurang aktif pada waktu itu," ujarnya.

Pada Jumaat, pihaknya telah menyelesaikan kes sarang tebuan di Kolej Vokasional di sini.

Artikel Berkaitan:

Mohd Nor Azhar memaklumkan, aduan terbabit diterima kira-kira jam 8.45 malam daripada seorang lelaki yang melihat sarang tebuan pada batu penambak tebing di kolej tersebut.

"Pihak kami mengambil masa 15 minit untuk memusnahkan sarang tebuan itu dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan semasa kejadian," jelasnya.