PDRM FA janji selesaikan tunggakan gaji dalam sebulan

Kamarul Ariffin pada sidang media berkenaan Pembayaran Balik Gaji Pemain Bola Sepak PDRM di Wisma Sukan Pulapol, semalam. - Foto Bernama
Kamarul Ariffin pada sidang media berkenaan Pembayaran Balik Gaji Pemain Bola Sepak PDRM di Wisma Sukan Pulapol, semalam. - Foto Bernama
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM FA) berjanji untuk menyelesaikan masalah tunggakan gaji bekas pemain pasukan berkenaan secara sepenuhnya dalam tempoh sebulan.

Sebagai permulaan, PDRM FA pada hari ini melunaskan tunggakan gaji sebanyak RM522,000 kepada 12 pemain tempatan dan empat pegawainya menerusi geran RM312,000 daripada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan selebihnya menerusi tajaan daripada PappaRich.

Pengurus pasukan itu, Kamarul Ariffin Mohd Shahar berkata pihaknya sedang berusaha untuk mencari dana membayar baki gaji sebanyak RM696,000 untuk empat bekas pemain import dan dua pegawai pasukan tersebut.

“Kita terpaksa menanggung hutang ditinggalkan pengurusan lama. Alhamdulillah dalam dua bulan kami mengambil alih pasukan ini, kita uruskan dengan baik mengikut bajet yang ada. Walaupun PDRM kini menduduki tangga tercorot Liga Premier, kami yakin pasukan ini akan naik secara perlahan-lahan selepas masalah ini diselesaikan.

“Penaja kami juga merupakan penyumbang sosial yang nak tolong untuk bola sepak, bukannya kerana dianugerahkan tender,” katanya pada sidang media selepas majlis pembayaran gaji berkenaan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini, semalam

PDRM FA adalah antara tujuh pasukan yang diminta menghantar maklumat tambahan mengenai status kewangan pasukan oleh MFL pada Sabtu lalu, selepas menghadapi masalah tunggakan gaji selama dua bulan pada musim lepas.

Setelah menerima maklumat tersebut, MFL membuat keputusan untuk menyingkirkan Perlis FA daripada saingan Liga Premier 2019, manakala nasib enam lagi pasukan masih belum diputuskan.

Kamarul Ariffin turut menjelaskan bahawa skuad ‘The Cops’ itu tidak menghadapi masalah kewangan untuk menguruskan pasukan pada musim ini kerana tidak membuat perbelanjaan secara besar-besaran seperti pengurusan terdahulu.

Artikel Berkaitan:

“Kita dah selesaikan gaji untuk dua bulan pertama ini dan sudah ada duit untuk membayar bagi tiga bulan seterusnya. Bajet tahun ini hanya RM1.5 juta...dengan geran bakal diterima dan penaja yang ada, ia cukup. Gaji dibayar kepada pemain juga sangat rendah hingga kami malu hendak beritahu, tetapi itu yang kita mampu.

“Malah, Patrick Ronaldinho Wleh juga bersetuju menyertai pasukan PDRM dengan gaji rendah kerana mahu membuktikan bahawa beliau masih berbisa. Kami harap kehadirannya dapat memberi impak positif kepada pasukan,” katanya.

PDRM, yang kini menghuni tangga tercorot carta divisyen kedua itu, selepas hanya meraih satu mata setelah seri satu perlawanan dan tewas dua perlawanan liga setakat ini, akan turun menentang Selangor United hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM), Izham Ismail menggesa semua pasukan lain yang menghadapi masalah gaji, supaya menjadikan komitmen PDRM FA sebagai contoh.

“PFAM mewakili pemain ucapkan terima kasih kepada PDRM FA kerana telah berikan sedikit sinar kepada pemain-pemain berkenaan yang selama ini sengsara tidak mendapat hak mereka.

“Harap semua pasukan akan memastikan pemain berada dalam keadaan selesa supaya dapat menjalankan tanggungjawab mereka sebagai pemain dengan baik,” katanya. - Bernama