Cegah cetus kluster sekolah

Pemberian vaksin kepada calon peperiksaan SPM dan STPM adalah langkah terbaik bagi mengelak kluster baharu di sekolah. Gambar kecil: Dr Mohd Dzulkhairi
Pemberian vaksin kepada calon peperiksaan SPM dan STPM adalah langkah terbaik bagi mengelak kluster baharu di sekolah. Gambar kecil: Dr Mohd Dzulkhairi
A
A
A

SHAH ALAM - Usaha kerajaan untuk memberikan vaksin kepada calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) adalah langkah terbaik bagi mengelakkan berlakunya kluster baharu di sekolah.

Pakar Perubatan dan Kesihatan Awam Universiti Sains Islam Malaysia, Profesor Madya Dr Mohd Dzulkhairi Mohd Rani berkata, dengan pemberian vaksin kepada calon tersebut, ia dapat menurunkan kadar jangkitan harian dan dalam komuniti.

“Saya sambut baik cadangan atau saranan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin Abu Bakar untuk beri vaksin kepada calon peperiksaan.

“Ini merupakan keutamaan kerana sebelum ini kita lihat apabila sekolah dibuka, ada dilaporkan kluster baharu yang berlaku dalam kalangan pelajar sekolah khususnya pelajar sekolah berasrama.

“Dengan pemberian ini saya kira dapat menurunkan kadar harian dan kadar jangkitan kes dalam komuniti,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

ARTIKEL BERKAITAN: Calon SPM, STPM dijangka terima vaksin pada Julai

Pada Khamis, Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) bersetuju untuk memberikan vaksin Covid-19 kepada pelajar kelas peperiksaan tahun ini.

Tambah Radzi, cadangan tersebut telah diusahakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi memastikan pelajar-pelajar berkenaan diberi keutamaan.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: CITF setuju beri vaksin kepada murid kelas peperiksaan

Selain itu, menurut Dr Mohd Dzulkhairi, cadangan suntikan yang akan dilakukan di sekolah masing-masing adalah cara yang tepat.

Katanya, ia adalah bagi mencegah penerima vaksin terdedah dengan komuniti luar.

“Saya juga sarankan kepada mereka yang berumur 12 tahun ke atas ambil peluang ini daftar pada kadar segera.

“Jangan risau, tiada kesan sampingan lain terhadap mereka yang di bawah 18 tahun ini.

"Kesannya sama saja kerana ia bergantung pada individu. Jadi, tiada masalah,” ujar beliau.