Penyedia SVOD buat duit waktu Covid-19

Jumlah pengguna SVOD meningkat dari masa ke masa sehingga mewujudkan persaingan tinggi dalam pasaran, sekali gus memberikan pilihan kepada pengguna.
Jumlah pengguna SVOD meningkat dari masa ke masa sehingga mewujudkan persaingan tinggi dalam pasaran, sekali gus memberikan pilihan kepada pengguna.
A
A
A

[INFOGRAFIK] Perkhidmatan video on demand (SVOD) secara langganan nampaknya semakin menjadi pilihan rakyat di seluruh dunia sejak kebelakangan ini.

Nama-nama seperti Netflix, Prime Video dan Disney Plus kini menjadi sebutan dalam kalangan isi rumah.

Ini kerana perkhidmatan tersebut membolehkan orang ramai untuk menonton rancangan TV dan filem kegemaran pada bila-bila waktu dan di mana-mana sahaja.

Walaupun terpaksa menangung komitmen bulanan, namun ramai yang tidak berkira asalkan perkhidmatan ditawarkan memenuhi kehendak hiburan mereka.

Susulan itu, jumlah pengguna SVOD meningkat dari masa ke masa sehingga mewujudkan persaingan yang tinggi dalam pasaran, sekali gus memberikan pilihan kepada pengguna.

Dianggarkan, terdapat tiga SVOD yang mendominasi pasaran dunia buat masa ini iaitu Prime Video, Netflix dan Disney+.

Kesemua perkhidmatan SVOD berkenaan menyalurkan program masing-masing menggunakan sistem over-the-top (OTT) menerusi internet.

Artikel Berkaitan:

SVOD disifatkan sebagai perniagaan era teknologi internet yang membawa pulangan lumayan.

Pendapatan perkhidmatan itu dilaporkan meningkat sebaik sahaja dunia berdepan dengan penularan Covid-19 pada awal 2020.

Orang ramai dilihat mula beralih ke perkhidmatan tersebut untuk mengisi kekosongan masa terperap di rumah sepanjang masa bagi mengelakkan jangkitan.

Sebuah firma penyelidikan, Strategic Analytics melaporkan, langganan SVOD di seluruh dunia meningkat sebanyak lima peratus susulan penularan Covid-19.

Menurutnya, perkhidmatan tersebut yang sebelum ini mempunyai 949 juta pengguna berbayar menyaksikan peningkatan sebanyak 47 juta pengguna.

Sementara itu, sebuah lagi firma penyelidikan iaitu JD Power mendapati majoriti penduduk dewasa di Amerika Syarikat (AS) membelanjakan AS$48 (RM198) sebulan bagi melanggan perkhidmatan SVOD pada Disember 2020.

Tinjauan melibatkan 1,745 penduduk itu merekodkan sebanyak 81 peratus responden melanggan Netflix, Prime Video (65 peratus) dan Disney Plus (47 peratus).

Jadi, tidak hairanlah kalau Netflix, Prime Video dan Disney Plus terus mencatatkan keuntungan berganda bermula 2020.

Ternyata, bisnes SVOD benar-benar membuat duit bagi mereka yang menyediakan perkhidmatan tersebut.

Perkhidmatan SVOD bukan sahaja disediakan oleh tiga nama popular di atas, sebaliknya terdapat lagi beberapa nama lain yang menyediakan perkhidmatan sama.

Di Asia sendiri terdapat banyak perkhidmatan seumpama itu yang sedang membina nama dan membuat keuntungan sama melalui perkhidmatan SVOD.

Antara nama yang popular dan mencuri perhatian ramai ialah Viu, Iflix, Iqiyi, Catchplay, Watcha Play dan Hotstar.

Bezanya, perkhidmatan SVOD yang disediakan lebih ‘mesra’ Asia yang mana drama atau filem ditawarkan fokus kepada program popular di negara yang terdapat dalam rantau berkenaan.

Majoritinya mula mendapat kepercayaan orang ramai, terutamanya apabila program dan harga ditawarkan memuaskan hati dan memenuhi cita.

Berdasarkan laporan Media Partner Asia, pendapatan video dalam talian di benua Asia mencecah AS$30 bilion (RM124 bilion) pada 2020.

Laporan bertajuk 'Asia Pacific Online Video & Broadband Distribution 2021' itu mejelaskan, pertumbuhan 12 peratus dijangka berlaku dalam pada setiap tahun sehingga mencecah AS$54.5 bilion (RM225 bilion) pada 2025.