Lebih RM1 saja sudah jadi M40?

No Image Caption
A
A
A

PAK Jaafar senang hati mendapat perkhabaran gembira. Hatinya berbunga-bunga. Habis dijajanya berita gembira kepada kawan-kawan, jiran dan sanak-saudara.

Anaknya yang belajar di luar negara akan pulang ke kampung kerana bercuti tiga bulan.

Sudah hampir dua tahun anaknya tidak dapat pulang disebabkan pandemik. Sekarang Pak Jaafar seperti tikus jatuh di beras pula.

Sebenarnya, anaknya belajar di sekolah tinggi dengan mendapat biasiswa penuh.

Kalau diikutkan pendapatan Pak Jaafar, tidak mampu untuk dia menghantar anaknya bersekolah ke luar negara.

Mungkin sudah rezeki anaknya mendapat biasiswa penuh.

Tahun lepas tidak dapat pulang dan ini pertama kali dapat pulang ke Malaysia. Selepas itu kata Pak Jaafar, anaknya akan pulang ke sekolah semula pada September.

“Awak nanti buat persediaan untuk anak kita pulang,” kata Pak Jaafar kepada isterinya.

Artikel Berkaitan:

“Jangan lupa kemas bilik tidurnya. Masak juga makanan kegemarannya. Dah lama asyik makan makanan luar sahaja,” kata Pak Jaafar.

Isterinya hanya mengiyakan sahaja apa yang dipesan dan berkata: “Awak dah tanya macam mana prosedur untuk balik dari luar negara. Anak kita nanti nak kena kuarantin dulu selama 14 hari.”

Tiba-tiba riak muka Pak Jaafar berubah. Tidak ingat pula dia akan keadaan sekarang bukan macam dulu.

Pintu kawalan kemasukan negara dikawal untuk menghalang merebaknya varian luar negara.

“Ish, aku pening. Anak aku nanti kena kuarantin 14 hari. Yang aku susah hati sebab kena bayar. Katanya RM150 sehari. Kalau 14 hari sudah RM2,100. Mana aku nak cari duit banyak tu?” kata Pak Jaafar merungut ketika bertemu saya.

“Pak Jaafar boleh buat rayuan. Minta pengecualian caj kuarantin dan caj ujian swab,” kata saya.

“Boleh minta ya?” tanya Pak Jaafar minta kepastian.

“Ya, boleh cuba minta pengecualian. Nanti Pak Jaafar cuba hubungi Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma). Beritahu situasinya kenapa perlu diberi pengecualian bayaran. Sertakan dokumen diminta,” kata saya cuba menenangkan hati Pak Jaafar.

Pak Jaafar tersenyum riang. Muka yang mendung kelabu kembali bersinar, bak kata pepatah Melayu lama, terpapar riak muka seperti kera mendapat pisang.

Pak Jaafar pantas menelefon isterinya: “Awak jangan bimbang tentang kuarantin tu. Kita boleh minta bayaran dikecualikan. Lagipun kita bukan orang kaya. Mesti kerajaan boleh pertimbangkan.”

Saya hanya tersenyum sahaja kerana dapat membantu Pak Jaafar menyelesaikan masalahnya.

Saya berharap dipermudahkan segala urusan Pak Jaafar dan anaknya nanti.

Beberapa hari lalu, saya bertemu semula dengan Pak Jaafar. Entah kenapa kelihatan menarik muka 12, bagai ayam mengerang telur bak kata pepatah Melayu lama lagi.

“Dah selesai ke?” tanya saya cuba berbasa-basi.

“Huh! Aku tanya Nadma. Katanya boleh minta pengecualian caj kuarantin jika kategori B40. Ada juga beberapa syarat lagi yang diberitahu tetapi paling penting gaji bawah RM4,850,” katanya Pak Jaafar.

“Pak Jaafar kategori mana?” tanya saya lagi.

“‘Aku dah jadi kategori M40, M1. Gaji aku lebih RM200 sahaja daripada B40 B4. Borang M40 tak ada. Yang ada borang B40 sahaja,” katanya.

“Aku dahlah anak ramai. Isteri tak bekerja. Gaji pun cukuplah untuk belanja hidup dan bayar bil. Macam mana nak bayar kalau hidup paras-paras hidung sahaja,” kata Pak Jaafar lagi.

“Cubalah buat rayuan juga. Mana tahu kerajaan boleh pertimbangkan. Isi sahaja borang B40 tu,” kata saya cuba melegakan hati Pak Jaafar.

Selepas itu saya tidak berjumpa lagi Pak Jaafar.

Saya ada melihat juga takrifan golongan B40 dan M40. Antara kumpulan B40 dan Kumpulan M40, perbezaan M1 dan B4 tidak jauh bezanya pun.

Cuma, yang membuatkan saya walang, hanya lebih RM1 sahaja dari B40 B4 sudah jadi M40 M1?

* Faisal Muhamad ialah seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk berbual, e-mel beliau: mrfaisalmuhamad@gmail.com