Apa itu ‘binatang politik’?

Artistotle dalam bukunya Politics tidaklah mengungkapkan istilah ‘binatang politik’ dengan merujuk manusia sebagai binatang. - Foto internet
Artistotle dalam bukunya Politics tidaklah mengungkapkan istilah ‘binatang politik’ dengan merujuk manusia sebagai binatang. - Foto internet
A
A
A

ADA seorang ahli pimpinan tertinggi sebuah parti politik sekali lagi menggunakan istilah ‘binatang politik’ yang kali ini bagi menyelar mereka yang mendesak agar Parlimen segera dibuka dan bersidang.

Tidak pasti kepada siapa istilah itu ditujukan. Kerana yang meminta Parlimen kembali dibuka bukan orang politik sahaja, malah orang istana juga.

Untuk rekod ini kali kedua individu itu menggunakan istilah serupa. Sebelumnya, individu tersebut menyifatkan ‘Kluster Mahkamah’ dari UMNO juga sebagai ‘binatang politik’.

Kedua-duanya jelas memperlihatkan bagaimana istilah ‘binatang politik’ itu dikaitkan dengan konotasi negatif dan jahat.

Secara tidak langsung segala sifat kebinatangan – tamak, agresif, penting diri sendiri – telah dikaitkan dengan politik lantas mengeruhkan persepsi umum terhadap bidang tersebut.

Sudahnya rakyat menjadi semakin canggung daripada politik dan mula percaya bahawa orang politik sememangnya berperangai macam ‘binatang’. Walhal istilah binatang politik itu bukanlah bermaksud yang sedemikian.

Pemahaman terhadap ‘binatang politik’ ini harus dibaca menerusi istilah yang dikemukakan oleh ahli falsafah Greek terkenal Aristotle.

Artistotle dalam bukunya Politics tidaklah mengungkapkan istilah ‘binatang politik’ dengan merujuk manusia sebagai binatang.

Artikel Berkaitan:

Tetapi beliau melihat manusia sebagai ‘binatang politik’ kerana manusia adalah makhluk sosial yang semulajadi cenderung untuk bersosial dan berbahagia.

Ketika Aristotle menciptakan istilah ‘binatang politik’, sifat semulajadi manusia yang boleh berkomunikasi serta mempunyai pertimbangan moral dalam bersosial dan bermasyarakat itulah yang menjadi asas pertimbangannya.

Oleh yang demikian, samalah juga bila manusia tertarik dengan kepelbagaian faedah menerusi kerjasama bagi memenuhi keperluan sosio-politik mereka dengan mengambil kira keupayaan manusia untuk bekerjasama dan bersikap rasional secara politik.

Secara mudah, Aristotle membezakan ‘binatang politik’ (manusia) dengan binatang yang lain apabila beliau mengangkat kemampuan manusia untuk mengenepikan kepentingan diri demi faedah bersama yang lebih besar.

Ini hanya dapat dicapai melalui kehidupan bermasyarakat yang ditadbir oleh peraturan dan undang-undang.

Baginya, ‘binatang politik’ yang jujur dan memiliki hati nurani mampu untuk membezakan antara yang benar dan salah serta faham akan prinsip keadilan sosial.

Lazimnya ‘binatang politik’ yang sebegini memiliki empati dan belas kasihan yang tinggi, dan sentiasa bersolidariti mendahulukan kepentingan bersama berbanding peribadi.

Tetapi malangnya, maksud ‘binatang politik’ Aristiotle itu sudah menjadi herot dalam pemahaman hari ini.

Tidaklah bermaksud untuk menafikan yang memang ada sisi kebinatangan dalam sifat manusia, tetapi mengaitkan istilah ‘binatang politik’ dengan maksud yang herot sebegini adalah salah dan tersasar.

Jelas keperluan untuk memahami sesuatu istilah dengan betul adalah penting bagi memastikan kefahaman tentang sesuatu itu tidak sewenangnya ditafsirkan mengikut nafsu dan serakah sendiri.

Mereka yang menafsirkan ‘binatang politik’ dari sisi kebinatangan ini mungkin hanya melihat politik dari perspektif Machiavelli (pragmatis dan oportunis) – sentiasa melihat sisi buruk manusia berbanding sisi baiknya.

Sebab itu Aristotle juga turut menyatakan bahawa mereka yang melihat politik dari perspektif ini adalah orang yang mati perasaan dan kepercayaannya kepada kehidupan bermasyarakat.

Jadi jelas perlu ada perbezaan diantara istilah ‘binatang politik’ dengan binatang yang berpolitik.

Kerana yang membezakan antara manusia dengan binatang adalah kemampuan berpolitik itu sendiri.

Hanya ‘binatang politik’ yang mampu berpolitik dengan sempurna sedangkan binatang yang berpolitik pula akan sentiasa mendokong politik Machiavelli.

Kelompok inilah yang menghancurkan kepercayaan masyarakat terhadap politik dengan menanam kepercayaan bahawa orang politik sememangnya adalah ‘binatang yang berpolitik’.

* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM)