Pelaburan langsung asing naik RM9.1 bilion

Peningkatan FDI disumbang oleh aliran masuk ekuiti dan dana pelaburan saham lebih tinggi, khususnya dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan.
Peningkatan FDI disumbang oleh aliran masuk ekuiti dan dana pelaburan saham lebih tinggi, khususnya dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan.
A
A
A

[INFOGRAFIK] Pelaburan langsung asing (FDI) di Malaysia suku tahun pertama (ST1) 2021 meningkat sebanyak 34.7 peratus kepada RM9.1 bilion berbanding RM6.8 bilion pada suku sebelumnya tahun lalu, kata Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Menurutnya, peningkatan berkenaan disumbangkan oleh aliran masuk ekuiti dan dana pelaburan saham yang lebih tinggi, khususnya dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan.

“Aliran FDI di Malaysia menunjukkan pemulihan dengan mencatatkan nilai pelaburan tertinggi sejak Malaysia dilanda penularan Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sementara itu, katanya, prestasi pelaburan langsung Malaysia di luar negara (DIA) menunjukkan trend meningkat dengan merekodkan aliran keluar bersih RM7.8 bilion pada ST1 2021, disumbangkan oleh aliran keluar ekuiti dan dana pelaburan saham yang lebih tinggi.

“Pelaburan terkumpul di luar negara juga meningkat kepada RM518.8 bilion, sebahagian besarnya ke Singapura dan Indonesia, manakala United Kingdom telah mengatasi Pulau Cayman sebagai destinasi utama yang ketiga,” katanya.

Mengulas prestasi 2020, Dr Mohd Uzir berkata, FDI Malaysia menurun 54.8 peratus pada tahun lepas namun pelaburan terkumpul berkembang kepada RM698.8 bilion.

Artikel Berkaitan:

Katanya, ia susulan aktiviti ekonomi global yang terjejas teruk akibat Covid-19.

“Berdasarkan UN Conference on Trade and Development (UNCTAD), FDI global jatuh 42 peratus pada 2020 berbanding 2019.

“Oleh yang demikian, FDI Malaysia mencatatkan RM14.6 bilion, yang terendah sejak 2009 (RM5.1 bilion),” katanya.

Walaupun Malaysia mencatatkan aliran FDI yang lebih rendah pada 2020, FDI terkumpul telah meningkat sebanyak RM11.0 bilion, mencapai RM698.8 bilion, tambahnya.

“Sektor perkhidmatan merupakan penerima terbesar pada 51.6 peratus atau RM360.4 bilion, dipacu oleh aktiviti kewangan dan borong.

“Ini diikuti oleh sektor pembuatan yang merangkumi 39.2 peratus daripada keseluruhan FDI, terutamanya dalam produk elektrik dan elektronik,” katanya.

Beliau berkata, DIA juga menguncup sebanyak 54.0 peratus iaitu RM11.9 bilion disebabkan oleh pelaburan lebih rendah dalam sektor perlombongan dan perkhidmatan.

Bagaimanapun, katanya, perkhidmatan kekal sebagai sektor terpenting bagi DIA dengan menyumbang 54.0 peratus daripada keseluruhan pelaburan, terutamanya dalam aktiviti kewangan dan telekomunikasi.

“Ini diikuti oleh sektor pembuatan, khususnya dalam produk makanan dan minuman serta petroleum, kimia, getah dan plastik terutamanya ke Kanada, United Kingdom dan Indonesia,” katanya.