Inilah dia 'Anakku Sazali'

Wawancara bersama anak P Ramlee, Sazali P Ramlee, 60, di kediamannya, Kampung Sentosa Semenyih. - Foto Sinar Harian/SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A

“ANAKKU Sazali, dengarlah... Lagu yang ayahanda karangi....”

Bait-bait lagu Anakku Sazali, ciptaan seniman agung negara, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee bermain di fikiran tatkala tiba di sebuah rumah berwarna hijau di Kampung Sentosa, Semenyih.

“Assalamualaikum,” kata penulis. Keluar seorang wanita menjawab salam.

“Puan, betul ke ini rumah Sazali, anak P. Ramlee?,” tanya penulis.

“Ya, betul. Sazali ada di dalam, nanti saya panggilkan,” kata wanita tersebut. Lega rasanya hajat tercapai. Langkah kanan sebenarnya kerana dia baru sahaja pulang ke rumah.

Pintu rumah dikuak. Seorang lelaki berbaju batik menjemput kami masuk ke dalam. Memegang tongkat, pergerakannya agak terbatas namun kehadiran kami disambut mesra.

“Marilah masuk, boleh berbual di dalam,” sapa anak seniman agung negara, Sazali P Ramlee, 60. Keadaannya agak baik cuma kakinya tidak begitu kuat.

“Kaki kanan saya ada masuk besi, susah sikitlah nak jalan. Ada buat ‘operation’ pada 2013,” katanya memulakan bicara.

“Pakcik sihat ke?,” tanya penulis pula. “Alhamdulillah, sihat begini sajalah. Lepas ‘operate’, kaki tak kuat sangat dah,” kata Sazali.

Wawancara bersama anak P Ramlee, Sazali P Ramlee, 60, di kediamannya, Kampung Sentosa Semenyih. - Foto Sinar Harian/SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Wawancara bersama anak P Ramlee, Sazali P Ramlee, 60, di kediamannya, Kampung Sentosa Semenyih. - Foto Sinar Harian/SHARIFUDIN ABDUL RAHIM

Pertemuan singkat itu pastinya dihiasi pelbagai soalan baik berkaitan Semenyih mahupun kenangannya bersama arwah ‘daddy’, seniman agung yang tiada galang gantinya.

“Pakcik, alang-alang PRK Semenyih sekarang, apa yang pakcik rasa paling diperlukan di Semenyih?,” soal penulis.

“Hospital,” pantas jawabnya. “Kadangkala saya perlu pergi hospital, isteri saya pun sama tapi di Semenyih tiada hospital. Susah jugalah,” keluhnya.

“Kaki saya masuk besi, perlu buat pemeriksaan susulan. Biasa kami pergi ke Kuala Lumpur. Jauh jugalah tapi nak buat macam mana,” sambungnya.

“Cuma perbelanjaan banyak juga digunakan untuk menampung perjalanan ke hospital. Kadangkala saya guna ‘grab’ saja, belanja kira-kira RM45 satu perjalanan,” katanya.

Menceritakan detik hitam menimpa dirinya, Sazali berkata, kakinya patah ketika dalam perjalanan pulang dari kerja tujuh tahun lepas.

“Masa itu hujan lebat, saya kayuh basikal nak balik rumah. Entah macam mana, tak tahu apa saya langgar, saya jatuh. Tengok kaki, dah terlipat. Tak boleh bangun dah masa tu,” ceritanya.

Wawancara bersama anak P Ramlee, Sazali P Ramlee, 60, di kediamannya, Kampung Sentosa Semenyih. - Foto Sinar Harian/SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Wawancara bersama anak P Ramlee, Sazali P Ramlee, 60, di kediamannya, Kampung Sentosa Semenyih. - Foto Sinar Harian/SHARIFUDIN ABDUL RAHIM

Bila di hospital, doktor sahkan kakinya perlu dimasukkan besi. Selepas pembedahan, dia tidak lagi mampu bekerja dengan Alam Flora Sdn Bhd.

Bermula dari situ, kehidupan Sazali dan isterinya, Hamidah Hitam, 56, semakin sukar. Hidupnya bergantung harap kepada bantuan Baitulmal, Jabatan Kebajikan Masyarakat serta rakan dan saudara.

“Mujur juga saya dapat royalti hasil karya P Ramlee. Wang itulah digunakan untuk perbelanjaan harian tapi risau juga, pembayaran royalti akan tamat dalam empat ke lima tahun lagi,” katanya.

Bagi Sazali, arwah ayahnya merupakan seorang yang sangat baik malah dia tidak pernah melupakan detik akhir P Ramlee bersamanya. Kepiluannya masih terasa.

“Masa P Ramlee duduk Setapak, saya ada dengan dia. Masa dia dah nak meninggal, dia panggil anak-anak dan isterinya.

“Dia kata daddy nak mati sebab dada dah sakit. Dia kata boy, daddy nak mati. Saya kata janganlah macam tu daddy, kami kecil lagi,” cerita Sazali.

Cukuplah kisah sedih. Berjumpa Sazali, pasti penulis tidak lepaskan peluang bertanyakan kisah di sebalik pembikinan filem ‘Anakku Sazali’. Sazali berusia 10 tahun pada waktu itu.

“Itu filem, daddy buat khas untuk Jali Boy (panggilan untuk Sazali). Esok besar jangan jadi macam tu pula,” katanya.

Tambahnya, “cerita itu nasihat untuk saya, untuk semua orang.” Kata Sazali lagi, “ramai juga orang jumpa saya kata filem ayah saya memang sangat bagus, sampai sekarang tak bosan tengok.”

Sebelum mengakhiri temubual, Sazali sempat berpesan, “bila keluar akhbar, beritahu ya, saya nak baca.”

Jawab penulis, “Baik pakcik, saya bawakan nanti. Terima kasih untuk perkongsian berharga ini.”