Negara ke fasa kedua jika purata kes bawah 4,000 tujuh hari berturut-turut

Foto 123RF
Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Purata kes Covid-19 di Malaysia perlu berada di bawah 4,000 kes sehari selama tujuh hari berturut-turut bagi membolehkan negara beralih ke fasa kedua mengikut Pelan Pemulihan Negara.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, selain itu kapasiti katil di unit rawatan rapi (ICU) juga perlu mencapai paras 75 peratus ke bawah di samping 10 peratus populasi yang telah divaksin.

"Hari ini, Alhamdulillah, vaksinasi sudah melebihi 10 peratus iaitu 11 peratus, dan dengan adanya pendekatan nilai ambang ini, kita boleh bergerak ke fasa dua, tiga dan empat," katanya dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV, malam ini.

Pelan Pemulihan Negara yang merangkumi empat fasa adalah strategi peralihan keluar daripada kemelut pandemik COVID-19 bagi mengembalikan penghidupan harian biasa menjelang akhir tahun ini.

Ia bersandarkan tiga indikator iaitu keadaan penularan Covid-19 dalam komuniti berdasarkan bilangan kes jangkitan harian, keupayaan sistem kesihatan awam berdasarkan kadar penggunaan katil di ICU dan indikator ketiga adalah tahap populasi yang dilindungi berdasarkan peratusan lengkap menerima dua dos suntikan vaksin.

Dr Adham berkata, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 merupakan kaedah intervensi untuk mencapai sasaran pelan berkenaan.

"Kita ada satu unjuran model SEIR (Susceptible-Exposed-Infectious-Removed), dan dalam Pelan Pemulihan Negara kita lihat kepada nilai RT (kadar kebolehjangkitan).

"Kalau sebelum ini nilai RT masih pada 1.2, mengikut unjuran SEIR kita mungkin akan ada 13,000 kes (Covid-19)... tetapi disebabkan PKP 3.0, kita dapat intervensi sehingga unjuran SEIR di bawah 1 iaitu 0.9.

Artikel Berkaitan:

"Ini memerlukan tekad kuat iaitu memerangi Covid-19 dengan tindakan kesihatan awam, vaksinasi dan solidariti rakyat kerana kita bukan sahaja berdepan dengan virus seperti dulu tetapi ada juga varian baharu," katanya.

Sementara itu, Dr Adham berkata, kerajaan mempunyai pelan untuk membolehkan golongan berumur 12 tahun ke atas mengambil vaksin namun perlu memastikan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan diselesaikan terlebih dahulu.

"Pihak pengeluar vaksin Pfizer telah kemukakan yang boleh beri vaksin kepada umur 12 tahun ke atas...kita kena ada data daripada Pfizer yang meyakinkan, dan keduanya, kita perlu dahulukan mereka yang mengambil peperiksaan iaitu tingkatan lima dan enam.

"Itu hanya berlaku selepas kita selesaikan program imunisasi kebangsaan," katanya. - Bernama