Thailand usaha dapatkan lebih banyak vaksin

Orang ramai mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 di pusat vaksinasi di Bangkok. Foto Xinhua
Orang ramai mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 di pusat vaksinasi di Bangkok. Foto Xinhua
A
A
A

BANGKOK - Thailand mempertingkat usaha vaksinasi berikutan rancangan untuk membuka kembali negara kepada pelancong yang divaksinasi sepenuhnya pada pertengahan Oktober.

Penolong jurucakap Kementerian Luar Negeri, Natapanu Nopakun berkata, Thailand merancang untuk mendapatkan 150 juta dos vaksin Covid-19 menjelang 2022, iaitu peningkatan 50 juta dos daripada sasaran sebelumnya untuk hampir 70 juta penduduknya bagi mencapai kekebalan kelompok.

Sehingga kini, katanya, seramai 7.2 juta orang telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

"Sebanyak 6 juta dos vaksin Covid-19 diperoleh seperti yang dirancangkan pada Jun, dan sejak pelancaran vaksinasi pada 28 Februari lalu, jumlah yang telah divaksin dijangka mencecah 10 juta pada akhir Jun.

"Pada Julai, Kementerian Kesihatan Awam merancang untuk memperoleh 10 juta dos vaksin Covid-19," katanya pada taklimat harian Covid-19 di sini pada Jumaat.

Perdana Menteri, Prayuth Chan o-cha pada Rabu mengumumkan Thailand akan membuka semula pintunya kepada pengunjung yang telah divaksin sepenuhnya pada pertengahan Oktober untuk menghidupkan kembali ekonominya yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

Prayuth mengatakan pelancong asing yang telah divaksin sepenuhnya dan warga Thailand yang mahu pulang, akan dibenarkan masuk tanpa perlu menjalani kuarantin atau sekatan lain.

Sementara itu, Thailand mengurangkan sekatan Covid-19 di 'kawasan yang dikawal ketat dan maksimum’ atau zon merah gelap iaitu Bangkok, Nonthaburi, Pathum Thani dan Samut Prakan.

Artikel Berkaitan:

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA), Dr Taweesin Visanuyothin berkata, aktiviti yang melibatkan tidak lebih 50 orang dibenarkan.

Berkuat kuasa 21 Jun, katanya, restoran boleh beroperasi pada kapasiti 50 peratus hingga 11 malam tetapi dilarang menghidangkan alkohol.

Beliau menambah pasar raya dan pusat beli-belah boleh beroperasi sehingga 9 malam.

"Sekolah, universiti, pusat pembelajaran masih ditutup," katanya menambah penggunaan pelitup muka diwajibkan di zon merah gelap.

Bagi ‘kawasan kawalan maksimum’ atau zon merah - 11 wilayah termasuk Chon Buri, Songkhla, Yala, dan Narathiwat, tiada had pelanggan untuk restoran yang boleh dibuka hingga 11 malam tetapi dilarang menghidangkan minuman keras.

Dalam 24 jam terakhir, Thailand mencatatkan 3,058 kes Covid-19 baharu dan 22 kematian, menambah jumlah keseluruhan kepada 210,782 kes dan 1,577 kematian.

Daripada kes baharu, Dr Taweesin berkata, 3,039 adalah jangkitan tempatan termasuk 459 banduan, 536 melalui pengesanan kes aktif dan 19 kes import.

Menurut beliau, kematian baharu melibatkan 11 lelaki dan 11 wanita berusia antara 32 hingga 95 tahun termasuk 16 di Bangkok, masing-masing satu di Nakhon Pathom, Ayutthaya, Chachoengsao, Songkhla, Phrae dan Phetchabun.

Sementara itu, Markaz Dakwah Yala yang menempatkan madrasah (sekolah agama) dan masjid di Yala, selatan Thailand telah diperintahkan untuk ditutup mulai 14 Jun kerana kelompok baharu telah dikesan di pusat itu.

Pegawai Kesihatan Awam Wilayah, Dr. Songkran Maichum berkata, 35 orang telah disahkan positif di Yala, termasuk pelajar dan mereka yang solat di masjid.

Beliau berkata, 25 kes Covid-19di lima wilayah di selatan Thailand yang berkaitan dengan pusat berkenaan telah dilaporkan.

"Kami telah mengenal pasti kira-kira 500 pelajar tahfiz yang menjadi kontak rapat individu yang disahkan Covid-19," katanya. - Bernama