Beberapa individu dipanggil isu perarakan pengebumian

Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir.
Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir.
A
A
A

ALOR SETAR - Polis memanggil beberapa individu berhubung satu video pengurusan pengebumian bukan Islam di Jalan Kilang Tebu, Alor Setar semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang tular di Facebook pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, video tersebut didapati memaparkan sekumpulan individu yang turut sama di dalam perarakan tersebut.

Menurutnya, Seorang lelaki tinggal di kawasan kejiranan perarakan tersebut telah merakam video kejadian dan berkongsi dengan adik angkatnya yang berada di Bangi, Selangor iaitu pemilik akaun Facebook Muhamad Akbarul Kamil.

"Pemilik akaun ini telah memuatkan video tersebut di laman Facebook iaitu di Kumpulan Kami Anak Kedah namun semakan lanjut mendapati video tersebut telahpun dipadamkan.

"Butiran si mati yang diring dalam kejadian ini telah diperolehi dan anak si mati juga telah dipanggil untuk dirakam keterangan bersama ahli keluarga yang lain," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Ahmad Shukri berkata, ahli keluarga mendiang menyatakan kehadiran ahli keluarga semasa proses pengebumian tersebut tidak melebihi 10 orang.

Menurutnya, pihak pengurusan pengebumian juga telah dipanggil dan keterangan pihak pengurusan mayat juga telah dirakamkan.

"Rakaman keterangan saksi yang turut hadir semasa upacara pengebumian juga telah diambil oleh pihak polis.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, semakan sistem kamera keselamatan tertutup (CCTV) di tempat kejadian turut dibuat bagi mengesahkan jika terdapat sebarang perlanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," ujarnya.

Tambahnya, pihaknya kini dalam proses melengkapkan kertas siasatan sebelum mengemukakan cadangan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk mendapatkan arahan tuduh ke atas waris si mati sekiranya terdapat perlanggaran SOP PKP yang sedang berkuatkuasa sekarang.