Lelaki kelar diri berada dalam keadaan stabil

No Image Caption
A
A
A

KOTA TINGGI - Seorang lelaki berjalan dalam keadaan berlumuran darah selepas dipercayai mengelar lehernya sendiri di Jalan Bunga Cempaka, Felda Pasak dekat sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Asisten Superintendan Hussin Zamora berkata, lelaki itu dilihat berjalan menghala ke arah sebuah stesen minyak di Taman Pasak pada jam 9.45 pagi.

Beliau berkata, orang awam yang melihat kejadian tersebut kemudian menghubungi pihak polis.

“Difahamkan suspek telah diselamatkan oleh pihak ambulans dan kemudian dihantar ke Hospital Kota Tinggi untuk menerima rawatan.

“Suspek kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan masih menerima rawatan,” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Hussin berkata, polis turut merampas sebilah pisau yang berlumuran darah disyaki digunakan dalam kejadian itu.

Katanya, punca kejadian masih belum diketahui dan pihaknya sedang menjalankan siasatan.

"Siasatan awal mendapati lelaki itu berasal dari Felda Air Tawar 1 dekat sini dan mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan satu kes pecah rumah serta tiga kes melibatkan dadah.

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat di bawah Seksyen 309 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh diri," katanya.