Pemain naturalisasi kurang menyerlah tidak membantu

Liridon dan De Paula antara pemain naturalisasi yang menyarung jersi Harimau Malaya pada kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.
Liridon dan De Paula antara pemain naturalisasi yang menyarung jersi Harimau Malaya pada kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.
A
A
A

PERSATUAN bola sepak Malaysia (FAM) digesa memberi fokus kepada pembangunan pemain di peringkat akar umbi, dan bukannya mengambil jalan singkat dengan mencuba nasib menurunkan pemain naturalisasi.

Bekas pemain kebangsaan, Datuk M Karathu berkata, tindakan memberi taraf kerakyatan kepada pemain kurang menyerlah dalam Liga Malaysia (Liga-M) tidak banyak membantu dalam pembangunan Harimau Malaya.

Karathu, yang bermain untuk pasukan kebangsaan sekitar tahun 1960-an sehingga 1970-an, turut mempersoalkan berapa ramai sebenarnya pemain import dari luar negara dalam liga tempatan kini, yang benar-benar layak untuk bertanding di peringkat tertinggi di Asia.

“Kebanyakan pemain import luar negara dalam Liga-M adalah dalam kalangan mereka yang tidak dapat bermain dalam liga tertinggi di Amerika Selatan dan negara-negara Eropah. Daripada beli pemain asing ini, lebih baik beli pemain dari Vietnam.

“Lihat sahaja karakter dan semangat juang ditunjukkan pemain Vietnam pada pertandingan kelayakan, jika dibandingkan dengan pemain kita yang kebanyakan hanya ‘berjalan’ semasa perlawanan, dan mendapat kad kuning dengan tidak semena-mena. Sesiapa yang diberi peluang untuk mewakili negara, mereka seharusnya perlu komited terhadap keseluruhan 90 minit tempoh perlawanan,” katanya.

Veteran berumur 77 tahun yang mempunyai pengalaman luas dalam melatih pasukan seperti skuad bawah 21 tahun kebangsaan, Perak, Kelantan, Woodlands Wellington FC dan pasukan kebangsaan Sri Lanka itu berkata, mengambil pemain naturalisasi yang sudah agak berusia bukanlah satu idea yang baik.

Menurut Karathu, FAM seharusnya menganalisis statistik dan prestasi, serta sikap dan komitmen yang ditunjukkan oleh setiap pemain dalam pasukan negara.

Harimau Malaya menyambung saingan kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, dengan rekod yang tidak boleh dibanggakan, apabila kalah 4-0 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan 2-1 kepada Vietnam, sebelum menewaskan Thailand, 1-0 untuk menduduki tempat ketiga.

Artikel Berkaitan:

Walaupun Malaysia melayakkan diri ke pusingan ketiga kelayakan Piala Asia, peminat mengecam penampilan hambar pasukan semasa menentang UAE dan Vietnam terutama prestasi ditunjukkan pemain kelahiran Brazil, Guilherme de Paula, 34, Liridon Krasniqi, 29, (Kosovo) dan Mohamadou Sumareh, 26, (Gambia).

Karathu berkata, FAM dan persatuan bola sepak negeri perlu serius dalam pembangunan pemain peringkat akar umbi, selepas kelab-kelab amatur, yang satu ketika dianggap sebagai kilang yang mengeluarkan pemain dari pelbagai latar belakang, kini banyak yang ditutup.

“Proses pembangunan dalam negara perlu dirombak, FAM perlu mengeluarkan perbelanjaan lebih untuk pembangunan ini, begitu juga dengan persatuan bola sepak negeri, mereka perlu fokus kepada pembangunan pemain di peringkat akar umbi. Sekadar satu atau dua akademi tidak mencukupi untuk meningkatkan kualiti pasukan negara.

“Sementara itu para pemain tidak seharusnya berpuas hati dengan pendapatan tinggi yang ditawarkan Liga-M. Mereka perlu berebut untuk mendapat peluang bermain di Jepun, Korea Selatan dan negara-negara Arab, yang tahap permainan bola sepak mereka dianggap sangat tinggi," katanya. -Bernama