X

Kindly register in order to view this article
!

Ringgit ditutup tinggi sedikit berbanding dolar AS

Ringgit kembali pulih dan ditutup tinggi sedikit minggu ini berbanding dolar AS berikutan sentimen positif kerana harga minyak kekal stabil manakala kadar vaksinasi seluruh negara bertambah baik.
A
A

RINGGIT kembali pulih dan ditutup tinggi sedikit minggu ini berbanding dolar AS berikutan sentimen positif kerana harga minyak kekal stabil manakala kadar vaksinasi seluruh negara bertambah baik, kata seorang penganalisis.

Pada 6 petang, unit tempatan naik kepada 4.1380/1410 berbanding mata wang Amerika Syarikat itu daripada 4.1390/1400 semasa penutupan pada Khamis.

Penganalisis berkata,walaupun ringgit lebih lemah bersama-sama dengan mata wang Asia lain awal hari ini apabila dolar AS melonjak selepas mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC), unit tempatan menerima beberapa sokongan belian walaupun dolar AS mengukuh.

Menurut laporan, minyak mentah Brent mungkin naik melebihi AS$80 (RM331.12) setong kerana permintaan tinggi susulan daripada penggunaan global yang berkurangan akibat pandemik.

Ia berkata permintaan minyak global mungkin mencecah paras tertinggi pada bulan Ogos.

Ketika berita ini ditulis, minyak mentah Brent untuk kontrak Julai turun 0.51 peratus kepada AS$72.71 (RM300.95) setong.

Sementara itu, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) telah mencatatkan jumlah vaksinasi harian tertinggi pada hari Khamis dengan pengagihan sebanyak 221,706 dos, melebihi sasaran ditetapkan kerajaan sebanyak 200,000 dos sehari.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba dalam ciapan di akaun Twitternya berkata, berdasarkan laporan harian mengenai jumlah kumulatif pendaftaran vaksin di www.vaksincovid.gov.my, seramai 14,637,437 individu telah mendaftar untuk vaksinasi tersebut pada hari Khamis.

Pada penutupan, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang utama.

Unit tempatan naik berbanding dolar Singapura kepada 3.0851/0875 daripada 3.0918/0930 ketika ditutup pada Khamis, bertambah berbanding pound Britain kepada 5.7526/7568 daripada 5.7826/7840 dan meningkat berbanding euro kepada 4.9308/9344 daripada 4.9465/9477.

Bagaimanapun, unit tempatan susut berbanding yen Jepun kepada 3.7570/7598 daripada 3.7389/7402 sebelumnya. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!