Cemar sungai, kilang ayam dikompaun RM50,000

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

MELAKA - Badan Kawal Selia Air (BKSA) Melaka mengeluarkan kompaun bernilai RM50,000 terhadap sebuah kilang pemprosesan ayam atas kesalahan mencemar sumber air di Sungai Punggor, Alai di sini.

BKSA dalam satu kenyataan berkata, bertindak atas aduan yang diterima semalam, pihaknya bersama-sama Exco Kesihatan dan Antidadah negeri, Datuk Rahmad Mariman dan pelbagai agensi telah menjalankan pemeriksaan di lokasi berkenaan hari ini.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati, terdapat pelepasan air sisa berwarna kelabu yang dipercayai dilepaskan terus dari kilang pemprosesan ayam berkenaan ke alur air dan mengalir ke sungai berkenaan.

“Pihak kita juga mendapati pencemaran ini adalah berpunca daripada pembuangan sisa industri oleh kilang pemprosesan kotak telur yang membawa sisa dari kilang tersebut dan dibuang di sungai tersebut.

“Sampel bahan cemar yang diambil di Sungai Punggor mempunyai sifat yang sama dengan sampel di lokasi pembuangan sisa,” menurut kenyataan itu.

Menurut BKSA, satu kertas siasatan akan dibuka berkaitan kes itu dan sampel yang diambil akan dihantar ke makmal untuk ujian selain membuat pemeriksaan di sebuah kilang di kawasan Perindustrian Elkay, Lipat Kajang, Jasin yang disyaki menghasilkan sisa tersebut.

“Syarikat berkenaan juga diminta melaksanakan kerja-kerja pembersihan sepanjang 600 meter dari premis sehingga ke aliran Sungai Punggor dan perlu membuat pelupusan bahan cemar dengan menanamnya di atas tanah milik mereka mengikut prosedur yang ditetapkan.

“Ini merupakan kesalahan berulang oleh syarikat yang sama yang sebelum ini pernah dikenakan tindakan atas kesalahan pelepasan air sisa kumbahan daripada rumah pekerja yang tidak menepati spesifikasi populasi setara (PE),” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut kenyataan itu, syarikat berkenaan akan didakwa di bawah Seksyen 39(a) Enakmen Sumber Air (Negeri Melaka) 2014 dan jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM250,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun. -Bernama