966 notis amaran larangan merokok di Melaka

Chee Leong melekatkan papan tanda larangan merokok di sebuah premis makanan yang gagal mempamerkan tanda larangan merokok.
Chee Leong melekatkan papan tanda larangan merokok di sebuah premis makanan yang gagal mempamerkan tanda larangan merokok.
A
A
A

MELAKA - Sebanyak 966 notis amaran larangan merokok dikeluarkan Jabatan Kesihatan Melaka sepanjang operasi Penguatkuasaan Pendidikan Kesihatan Premis Makanan (Larangan Merokok) sejak 1 Januari hingga 17 Februari lalu.

Exco Kesihatan dan Antidadah negeri, Low Chee Leong berkata, ia hasil pemeriksaan di 2,060 premis makanan di seluruh negeri sejajar arahan Kerajaan Persekutuan mewartakan semua premis makanan sebagai tempat larangan merokok bermula 1 Januari lalu, selari Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2018.

Menurutnya setakat ini, sebanyak 12,894 risalah kesedaran turut diedarkan dalam tempoh berkenaan.

“Kami berpuas hati terhadap sokongan dan momentum positif yang ditunjukkan masyarakat mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terhadap larangan berkenaan yang bertujuan memastikan tempat-tempat makan di negeri ini bebas asap rokok,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan tinjauan terhadap pemasangan papan tanda larangan merokok di premis makanan di sekitar Melaka Baru, Batu Berendam di sini.

Sehubungan itu, beliau turut menyediakan 100 keping papan tanda larangan merokok percuma kepada pengusaha premis makanan yang masih mengabaikan tanggungjawab mempamerkan papan tanda atau poster larangan merokok.

“Kami ingin memastikan pengusaha-pengusaha premis makanan dan orang ramai memahami serta mematuhi peraturan baharu yang ditetapkan.

“Kerjasama daripada mereka yang merokok diperlukan untuk mematuhi peraturan ini bagi melindungi orang awam terutamanya kanak-kanak, wanita mengandung dan orang tua daripada terdedah kepada bahaya asap rokok basi,” katanya.

Artikel Berkaitan: