Tiga lokaliti di Sabah, Kelantan dikenakan PKPD

 Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Tiga lokaliti di Sabah dan Kelantan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama dua minggu bermula Ahad ini hingga 3 Julai depan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, lokaliti itu ialah di Grace Villa Condo, Sembulan, Kota Kinabalu dan di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Kampung Pasir Putih, Putatan serta di Taman Sri Purnama, Mukim Padang Pak Amat, Pasir Puteh.

"Pelaksanaan PKPD ini ekoran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati penularan kes berlaku dengan pantas dan kadar kebolehjangkitan yang tinggi.

"Ia juga untuk menyekat pergerakan dan penularan jangkitan Covid-19 dari kawasan berisiko keluar dari lokaliti tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Dalam pada itu, Ismail Sabri menjelaskan, pelaksanaan PKPD di dua lokaliti di Sabah turut iaitu di Kampung Gusi Kinarut, Papar dan Kampung Perpaduan, Pulau Banggi, Kudat dilanjutkan 14 hari lagi bermula Ahad ini hingga 3 Julai depan.

Katanya, selain itu, PKPD di sembilan lokaliti di Sabah, Perak, Johor pula ditamatkan masing-masing pada Jumaat dan Sabtu.

"Lokaliti di Sabah membabitkan Taman Wawasan, Tawau; Kampung Tengah Kinarut dan Kampung Benoni, Papar; Taman Wangsa, Kota Kinabalu; Jalan Budi Sri Tanjung, Tawau dan Taman Pelangi, Semporna.

"Bagi lokaliti di Perak pula melibatkan tiga perkampungan dalam Mukim Ulu Kinta iaitu Kampung Dato' Ahmad Said Tambahan 2, Kampung Jelapang Baru, Kampung Sungai Tapah.

Artikel Berkaitan:

Ia turut membabitkan empat perkampungan dalam Mukim Pengkalan Hulu dan Mukim Kerunai Hulu Perak iaitu Kampung Air Panas, Kampung Kuak Luar, Kampung Alai dan Kampung Baharu," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, dua PKPD di Perak yang ditamatkan adalah di Taman Kerian Tambahan, Kerian dan Taman Berkat, Mukim Matang manakala penamatan PKPD di Johor pula melibatkan Felda Redong 1, Mukim Labis, Segamat yang ditamatkan pada Jumaat iaitu lebih awal dari tarikh dijadualkan 23 Jun ini.