Rumah Ngaji serah 100 pek makanan kepada petugas barisan hadapan

Maziah (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan Rumah Ngaji Teluk Muroh kepada petugas barisan hadapan sebagai tanda penghargaan di sekatan jalan raya sekitar daerah Manjung pada Jumaat.
Maziah (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan Rumah Ngaji Teluk Muroh kepada petugas barisan hadapan sebagai tanda penghargaan di sekatan jalan raya sekitar daerah Manjung pada Jumaat.
A
A
A

LUMUT - Sebagai menghargai pengorbanan petugas barisan hadapan, Rumah Ngaji Teluk Muroh menyerahkan 100 pek makanan kepada petugas di beberapa sekatan jalan raya (SJR) di sekitar daerah Manjung, di sini pada Jumaat.

Penggerak Rumah Ngaji Teluk Muroh, Datin Maziah Rafie berkata, selain SJR, sumbangan turut disampaikan di kepada anggota polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung dan anggota Batalion Pertama Rejimen 503 Askar Wataniah.

Menurutnya, dalam lawatan itu juga, pihak Rumah Ngaji turut memberikan sumbangan naskhah wakaf al-Quran kepada wakil anggota yang terlibat.

"Sumbangan ini kita berikan sebagai tanda ucapan terima kasih kepada petugas barisan hadapan yang tidak pernah jemu menjaga keselamatan dan memastikan orang ramai mematuhi peraturan ditetapkan.

"Kami dari Rumah Ngaji bersama-sama Skuad Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku (COMBI) berdoa agar petugas barisan hadapan negara terus diberikan kekuatan untuk melaksanakan tugas di lapangan," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Hadir sama menerima sumbangan itu, Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi dan Pegawai Memerintah 9 Rejimen Renjer Diraja, Leftenan Kolonel Mohd Fua'at Mohd Yatim.

Maziah berkata, pihaknya akan terus memberikan sumbangan seumpama itu pada masa akan datang sebagai sokongan daripada komuniti kepada petugas barisan hadapan.

Menurutnya, pemberian wakaf al-Quran itu juga diharap mampu meningkatkan motivasi para petugas menerusi mukjizat al-Quran.

Artikel Berkaitan: