'Jangan bimbang jika belum terima tarikh janji temu'

Noor Azmi (tengah) sedang melihat salah seorang orang awam menerima suntikan vaksin di Hospital Pantai Pulau Pinang pada Jumaat.
Noor Azmi (tengah) sedang melihat salah seorang orang awam menerima suntikan vaksin di Hospital Pantai Pulau Pinang pada Jumaat.
A
A
A

GEORGETOWN - Mereka yang telah mendaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 melalui aplikasi MySejahtera tidak perlu bimbang sekiranya masih belum menerima tarikh janji temu.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, orang ramai tidak perlu gusar jika masih belum dipanggil kerana kerajaan kini sedang menerima bekalan vaksin tambahan.

Noor Azmi
Noor Azmi

Menurutnya, proses pemberian vaksin dilihat dapat dipercepatkan antara Julai dan Ogos seperti yang disasarkan.

"Orang ramai yang mendaftar melalui MySejahtera tidak perlu gusar jika belum menerima tarikh janji temu suntikan vaksin. Asalkan mendaftar, mereka mesti akan diberi tarikh janji temu.

"Kerajaan memberi jaminan mereka akan menerima tarikh janji temu tersebut dan tidak perlu risau. Ini kerana, negara kini sedang menerima tambahan bekalan vaksin dalam kuantiti yang besar bulan depan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau operasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) hasil kerjasama dengan hospital swasta di Hospital Pantai Penang di sini pada Jumaat.

Sebelum ini, dilaporkan orang ramai mengeluh selepas masih belum menerima tarikh janji temu suntikan vaksin walaupun sudah mendaftar menerusi MySejahtera sejak Februari lalu.

Artikel Berkaitan:

Noor Azmi berkata, kerajaan akan mempercepatkan pemberian vaksin kepada rakyat termasuk pekerja asing.

"Kita bukan hanya mensasarkan 80 peratus rakyat mendapatkan vaksin, malah pekerja asing pun kita akan berikan vaksin.

"Selain itu, kita juga akan memperluaskannya kepada penduduk di pedalaman dan mereka yang menghadapi kesukaran untuk mendapatkan suntikan iaitu dengan menggunakan vaksin satu dos, CanSino," katanya.

Sementara itu, Noor Azmi berkata, kerajaan mensasarkan 75 buah hospital swasta untuk dijadikan sebagai PPV menjelang hujung bulan ini.

"Setakat ini, 67 hospital swasta sudah menyatakan kesediaan untuk dijadikan PPV di mana tujuh daripadanya terletak di Pulau Pinang.

"Sehingga kini, kira-kira 2,500 pengamal perubatan am swasta (GP) sudah berdaftar untuk dijadikan PPV dan 441 daripadanya sudah mula beroperasi.

"Kita mensasarkan sekurang-kurangnya 1,000 GP dapat digerakkan untuk memberikan vaksin menjelang hujung bulan ini," katanya.

Beliau berkata, kerajaan meminta lebih ramai pakar-pakar perubatan dan GP tampil untuk bersama-sama membantu kerajaan agar proses pemberian vaksin kepada rakyat dapat dipercepatkan.