Tiga PATI ditahan rentas daerah

PDRM
PDRM
A
A
A

KAMPAR - Tiga pendatang tanpa izin (PATI) ditahan polis dalam satu pemeriksaan di sekatan jalan raya Ops Covid-19, KM 43 Jalan Ipoh-Teluk Intan berhampiran Mambang Diawan di sini pada Khamis.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, kereta Proton Wira yang dipandu lelaki warga tempatan ditahan selepas didapati membawa lebih had penumpang yang dibenarkan.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nasri Hashim berkata, kesemua lelaki tersebut dalam perjalanan dari Teluk Intan menghala ke Ipoh.

Menurutnya, pemeriksaan terhadap tiga penumpang warga Indonesia berusia 22 tahun itu mendapati mereka tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

"Berdasarkan keterangan, pemandu berusia 31 tahun itu tidak mengenali suspek telah ditawarkan wang sebanyak RM1,400 sebagai upah untuk bawa mereka ke Ipoh ketika dia ditahan di tepi jalan Changkat Jong, Teluk Intan.

"Suspek telah membayar RM400 sebagai pendahuluan manakala baki akan dijelaskan setelah mereka selamat tiba di Ipoh," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Hasron Nazri berkata, siasatan lanjut mendapati suspek mahu pergi ke Ipoh untuk bertemu rakan mereka selain cuba mencari pekerjaan baharu.

"Suspek mengaku masuk ke negara ini sejak Oktober 2019 dan datang ke Perak bekerja sebagai pengait buah sawit.

Artikel Berkaitan:

"Ketiga-tiga suspek kemudiannya direman selama 14 hari sehingga 1 Julai ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pemandu terbabit turut dikenakan kompaun berjumlah RM5,000 selepas melakukan kesalahan merentas daerah tanpa kebenaran.

"Lelaki tersebut gagal mengemukakan borang kebenaran rentas daerah menyebabkan satu kompaun telah dikeluarkan," katanya.