X

Kindly register in order to view this article
!

PH Kedah gesa sidang DUN dibuka secepat mungkin

Gambar dari kiri: Kok Yew, Johari, Phahrolrazi
A
A

ALOR SETAR - Pakatan Harapan (PH) Kedah menggesa Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor menghadap Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dengan kadar segera bagi memohon perkenan pembukaan semula persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menurutnya, perkara tersebut selaras titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Mustafa Billah Shah dan Majlis Raja-raja Melayu bahawa persidangan Parlimen dan DUN perlu diadakan secepat mungkin, selain menamatkan darurat dan menyegerakan vaksinisasi kepada rakyat.

"DUN Kedah adalah platform dan medan terbaik untuk semua wakil rakyat kerajaan dan pembangkang berbincang, berbahas serta mengusulkan dasar-dasar negeri yang penting.

"Sidang DUN ini perlu disegerakan bersidang untuk membahaskan seperti pakej rangsangan ekonomi dan bantuan kewangan kepada rakyat yang sedang bergelut dengan pandemik kesihatan Covid-19 serta krisis ekonomi yang teruk," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Kenyataan tersebut dikeluarkan secara bersama oleh Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kedah, Datuk Johari Abdul; Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi dan Pengerusi DAP Kedah, Tan Kok Yew.

Mengulas lanjut, gesaan itu dibuat agar prinsip demokrasi semak dan imbang, tata kelola serta perjalanan pentadbiran negeri yang telah tergendala ketika ini dapat dilakukan secara telus demi kebajikan rakyat dan negeri Kedah sewajarnya.

Pada Rabu, Al-Sultan Abdullah menzahirkan pandangan supaya persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin bagi menangani Covid-19 demi menyelamatkan ekonomi negara.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas Yang di-Pertuan Agong berkenan berangkat menghadiri dan mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-raja Melayu di Istana Negara.

ARTIKEL BERKAITAN: Agong zahir pandangan sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin

Raja-raja sokong pendirian Agong, setuju darurat ditamatkan selepas 1 Ogos


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!