Gantung dulu pensyarah demi keselamatan siswi

All Women's Action Society (AWAM) merupakan talian bantuan untuk pemandiri gangguan seksual dan keganasan berasaskan gender mendapat perkhidmatan kaunseling dan maklumat perundangan.
All Women's Action Society (AWAM) merupakan talian bantuan untuk pemandiri gangguan seksual dan keganasan berasaskan gender mendapat perkhidmatan kaunseling dan maklumat perundangan.
A
A
A

SHAH ALAM - Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menggesa pensyarah di sebuah universiti awam yang didakwa melakukan gangguan seksual terhadap lebih 15 pelajar wanita dikenakan tindakan yang tegas oleh pihak bertanggungjawab.

Tan Chia Ea, 28, Pegawai Informasi dan Komunikasi All Women's Action Society (AWAM) berkata, pihak universiti patut mengambil langkah yang serius terhadap pelaku termasuk pemecatan jawatan jika disabit kesalahan dalam mengukuhkan pendirian sifar toleransi terhadap isu gangguan seksual.

Chia Ea
Chia Ea

"Sementara siasatan dijalankan seperti yang dilaporkan oleh pihak universiti, pensyarah tersebut haruslah digantung kerja buat sementara waktu supaya pihak universiti dapat menunjukkan sifat mengutamakan keselamatan dan kebajikan para pelajar mereka.


"Walaubagaimanapun, jika siasatan mendapati pensyarah tersebut sememangnya bersalah melakukan gangguan seksual yang berleluasa seperti yang dituduh, pihak universiti patut mengambil langkah memecat beliau kerana gangguan seksual bukan perkara yang boleh ditoleransi dengan mudah.

"Perkara ini amat membimbangkan kerana pensyarah gagal menjadi contoh yang baik dan tidak menunjukkan kesedaran serta pemahaman yang menyeluruh tentang peranan seorang pendidik dari segi menjaga kebajikan pelajarnya dan kelakuannya terhadap pelajar," katanya kepada Sinar Harian.

Tambahnya, kes-kes gangguan seksual di institusi pendidikan sememangnya semakin menjadi-jadi kebelakangan ini, termasuk keterangan yang diberikan oleh pelajar di media sosial mengenai peristiwa pemeriksaan haid dan gangguan seksual di sekolah-sekolah di Malaysia.

Antara mesej perbualan yang didakwa dihantar seorang pensyarah kepada pelajarnya yang dilaporkan sebuah portal.
Antara mesej perbualan yang didakwa dihantar seorang pensyarah kepada pelajarnya yang dilaporkan sebuah portal.

Artikel Berkaitan:

"Ini menunjukkan kekurangan sensitiviti dan hormat dalam kalangan pihak guru terhadap pelajar wanita. Hal ini amat membimbangkan dan pihak pendidikan harus berusaha untuk mengurangkan ataupun mengelakkan gangguan seksual daripada berlaku di institusi pendidikan.

"Antara langkah-langkah yang boleh diambil adalah memperbaiki dan menguatkuasakan kod tata laku para pendidik dan sesiapa sahaja dibawah bidang kuasa institusi pendidikan termasuk kakitangan bukan akedemik dan pelajar.

"Seterusnya, menjalankan bengkel dan latihan kepekaan jantina dengan para pendidik untuk memupuk kesedaran asasi tentang peranan jentina, kuasa, batasan fizikal, kebenaran dan keganasan yang merangkumi gangguan seksual dengan kerjasama bersama NGO," katanya.

Pada Khamis beberapa buah portal berita melaporkan mengenai aduan lebih 15 siswi di sebuah universiti awam di Dengkil yang didakwa menerima gangguan seksual terutamanya menerusi mesej-mesej berbaur lucah daripada seorang pensyarah.

Pihak universiti berkenaan memaklumkan siasatan sedang dijalankan ke atas laporan dan aduan berkenaan.

Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Eksekutif Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), Yu Ren Chung, 34, berkata, talian hotline WAO menerima 1,487 kes pelbagai aduan dari Januari hingga Mac 2021.

Ren Chung
Ren Chung

Terdapat peningkatan 71.5 peratus kes dari tempoh yang sama pada tahun 2020 yang mencatatkan 867 kes. Ini menunjukkan bahawa penderaan berasaskan jantina adalah pandemik yang sangat membahayakan keselamatan wanita.

"Sehingga April 2021, kami telah menerima 21 laporan gangguan seksual melalui talian bantuan WAO telefon dan WhatsApp (TINA). Terdapat sedikit penurunan jika dibandingkan dengan 35 kes yang dicatatkan dari Januari hingga April 2020.

"Namun, keganasan berdasarkan 'gender' secara keseluruhannya telah mengalami peningkatan yang mengejutkan selama pandemik Covid-19 ini," katanya.

Beliau turut menyatakan kebimbangan terhadap isu ini dan menitikberatkan tindakan yang perlu diambil kepada pelaku supaya pelajar-pelajar wanita tidak berasa dieksploitasi dan selamat.

"Ini sangat membimbangkan dan tingkah laku tersebut satu penyalahgunaan kuasa antara pendidik dan pelajar. Pelajar-pelajar yang menjadi sasaran eksploitasi ini mengalami kesan yang amat negatif dan jika insiden gangguan seksual dibiarkan sahaja, tentunya akan berulang lagi.

"Sekolah sepatutnya tempat yang selamat. Jika tiada pemantauan dilakukan kepada universiti, gangguan seksual akan terus diendahkan. Oleh itu, kita mesti terus utarakan Rang Undang-Undang (RUU) Anti-Gangguan Seksual supaya diluluskan dengan segera di parlimen untuk menangani kes gangguan seksual yang berlaku," katanya.

Bagi mereka yang memerlukan perkhidmatan pengurusan kes untuk gangguan seksual, NGO seperti AWAM mempunyai perkhidmatan Telenita percuma di 016-237 4221 dan Talian Hotline WAO di 03-3000 8858 atau SMS TINA di 018-888 8058.