FGV akan lantik juruaudit untuk penilaian petunjuk buruh paksa ILO

No Image Caption
A
A
A

FGV Holdings Bhd akan melantik juruaudit bebas untuk menjalankan penilaian terhadap operasinya yang dianggap bertentangan dengan 11 petunjuk buruh paksa Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), seperti disarankan Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat.

Pada masa ini, pihaknya sedang memohon kertas cadangan daripada calon organisasi dan berharap dapat memuktamadkan pelantikan juruaudit bebas pada Ogos 2021 sebelum kerja-kerja penilaian dimulakan segera.

“FGV menjangka ia dapat menyerahkan kepada CBP untuk pertimbangan, laporan penilaian berserta pelan pemulihan yang dicadangkan oleh FGV dalam tempoh lapan bulan selepas pelantikan juruaudit bebas itu,” menurutnya dalam kenyataan pada Jumaat.

Syarikat perladangan itu berkata, ia mengakui bahawa menyokong standard buruh merupakan usaha yang berterusan dan ia komited untuk mengutamakan usaha meningkatkan agenda kelestarian dan hak asasi manusia.

Syarikat itu akan membuat pengumuman yang selanjutnya sekiranya terdapat sebarang perkembangan material mengenai perkara itu sambil mengulangi komitmen sepenuhnya terhadap agenda kelestarian dan hak asasi manusia.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, FGV memberi tumpuan dalam memastikan pematuhan terhadap hak asasi manusia dan standard buruh.

Usaha ini telah dipertingkatkan sejak awal 2019 terutamanya menerusi kejasama FGV dengan Fair Labor Association (FLA) iaitu program jangka panjang untuk memperbaiki struktur dan sistem bagi meningkatkan amalan buruh FGV.

Pelbagai inisiatif telah dilaksanakan di bawah program berkenaan, antara lain menambah baik proses pengambilan pekerja asing FGV, membangunkan pembinaan keupayaan hak asasi manusia dan program latihan, memperkukuhkan mekanisme aduan dan memperbaiki sistem pemantauan buruh. - Bernama

Artikel Berkaitan: