X

Kindly register in order to view this article
!

Pengusaha kilang salah guna surat kelulusan MITI dikompaun

Mohamad Fakhrudin (dua dari kiri) melawat sebuah kilang di sini pada Jumaat.
A
A

PETALING JAYA - Sebanyak 10 kompaun bernilai RM189,500 telah dikeluarkan oleh pelbagai agensi terhadap pengusaha kilang atau pemilik premis yang menyalahgunakan surat kelulusan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam operasi di sekitar Petaling Jaya pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, kompaun turut dikeluarkan atas perlanggaran prosedur operasi standard (SOP) am ke atas pekerja-pekerja yang tidak mengimbas kod QR MySejahtera di tempat kerja.

"Empat premis pula telah diberikan notis arahan tutup oleh MITI kerana tidak tersenarai dalam sektor perkhidmatan perlu beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan," katanya ketika ditemui di lokasi operasi bersepadu di Taman Industri Sungai Buloh di sini pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Mohd Fakhrudin berkata, operasi itu melibatkan seramai 106 orang yang terdiri daripada pegawai dan anggota dari pelbagai agensi.

"Antara agensi yang hadir dalam operasi ini ialah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Selangor, MITI, Bahagian Penguatkuasa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Selangor, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ)," katanya.

Beliau berkata, fokus utama operasi yang dilancarkan itu adalah memberi penekanan terhadap aspek pengesahan kebenaran beroperasi ke atas premis serta kilang.

"Kita mahu mengesan kes manipulasi yang mungkin berlaku ke atas kilang atau premis yang diperiksa.

"Selain itu, kita mahu memastikan Pematuhan SOP di dalam premis serta kilang dilaksanakan sebagaimana ditetapkan," katanya.

Mohamad Fakhrudin turut menegaskan kepada pengusaha-pengusaha kilang dan pemilik premis perniagaan supaya sentiasa peka dengan arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan.

"Mereka perlu mematuhi SOP yang ditetapkan agar kita bersama-sama dapat memutuskan rantaian Covid-19 demi kesejahteraan bersama," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!