Warga Bangladesh dalang sindiket Program Rekalibrasi dicekup

Dua suspek warga Bangladesh ditahan Imigresen dalam serbuan di Kuala Lumpur pada Selasa.
Dua suspek warga Bangladesh ditahan Imigresen dalam serbuan di Kuala Lumpur pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sindiket menguruskan Program Rekalibrasi Pulang yang didalangi warga Bangladesh tumpas dalam serbuan di ibu negara, pada Selasa.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, operasi yang dijalankan sepasukan anggota Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Imigresen Putrajaya itu berjaya menahan dua suspek lelaki warga Bangladesh berusia 38 dan 53 tahun.

Menurutnya, suspek dikesan beroperasi di sebuah bilik sewa premis kedai yang terletak di Lebuh Ampang, Kuala Lumpur.

"Serbuan ini menemui empat naskhah pasport, empat dokumen perjalanan Bangladesh yang disyaki untuk digunakan dalam Program Rekalibrasi, puluhan slip janji temu online (STO) di Pejabat Imigresen Malaysia di pelbagai negeri, borang rentas negeri, dokumen Kedutaan Bangladesh dan lapan kad bank.

"Kesemua barang yang ditemui dipercayai berkait dengan aktiviti yang dijalankan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, modus operandi sindiket ini adalah menyasarkan warga Bangladesh yang telah tinggal lebih masa atau tidak mempunyai dokumen di negara ini.

Antara dokumen yang dirampas Imigresen susulan tumpasnya sindiket Program Rekalibrasi Pulang di Kuala Lumpur pada Selasa.
Antara dokumen yang dirampas Imigresen susulan tumpasnya sindiket Program Rekalibrasi Pulang di Kuala Lumpur pada Selasa.

Tambahnya, sindiket juga disyaki mengeluarkan dokumen perjalanan Bangladesh secara tidak teratur selain memperdaya dalam urusan Program Rekalibrasi.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan awal mendapati, sindiket mengenakan bayaran antara RM1,100 hingga RM2,600 bagi setiap permohonan Rekalibrasi manakala bagi permohonan mendapatkan dokumen perjalanan adalah RM1,000 hingga RM1,500.

"Berdasarkan slip STO yang dijumpai, sindiket ini disyaki telah menguruskan lebih daripada 200 permohonan sepanjang Program Rekalibrasi dijalankan," katanya.

Dedah beliau, selain itu, semakan mengesahkan salah seorang suspek yang ditahan mempunyai rekod dikehendaki oleh Jabatan Imigresen Negeri Kedah rentetan tangkapan ejen Program Rekalibrasi di negeri tersebut pada Mac lalu.

"Kes disiasat bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pasport 1966," katanya.

Justeru, Khairul Dzaimee menegaskan, pihaknya tidak pernah melantik mana-mana ejen bagi menguruskan Program Rekalibrasi dan masyarakat dinasihatkan supaya berurusan terus dengan Imigresen dan tidak mempercayai pihak ketiga bagi menguruskan Program Rekalibrasi.