Melaka umum pakej rangsangan ekonomi lebih RM174.52 juta

Datuk Seri Sulaiman Md Ali
Datuk Seri Sulaiman Md Ali
A
A
A

MELAKA - Kerajaan Melaka pada Jumaat mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Melakaku Maju Jaya 2020: Sejahtera Bersama membabitkan peruntukan berjumlah lebih RM174.52 juta.

Ketika mengumumkan perkara itu, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, pakej bantuan bersifat inklusif dan komprehensif itu merangkumi keseluruhan masyarakat termasuk pihak industri, membabitkan 60 inisiatif bagi menjaga kebajikan rakyat yang terjejas oleh Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

“Pakej bantuan ini berteraskan hubungan simbiosis di antara ekonomi rakyat dan ekonomi pasaran agar nikmat kemajuan negeri dirasai oleh semua lapisan masyarakat," katanya pada sidang akhbar selepas mengumumkan pakej itu di Seri Negeri, di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, sebanyak 33 inisiatif digariskan di bawah ekonomi rakyat dengan implikasi kewangan kira-kira RM155.85 juta, manakala bagi ekonomi pasaran, sebanyak 27 inisiatif disediakan melibatkan peruntukan sekitar RM18.67 juta.

Katanya, pakej rangsangan ekonomi terbaharu itu menjadikan nilai keseluruhan Pakej Bantuan Kerajaan Melaka kepada rakyat di negeri tersebut mencecah RM195.98 juta.

Sulaiman berkata, antara bantuan yang disediakan ialah bantuan sekali beri RM350 kepada 6,000 penerima golongan B40 dan golongan rentan yang bergaji harian melibatkan peruntukan berjumlah RM2.1 juta yang akan disalurkan secara berperingkat mulai pertengahan bulan ini.

Selain itu, sebanyak RM3.22 juta diluluskan bagi pemberian Bantuan Kit Makanan Nutrisi Sejahtera bernilai RM100 masing-masing, yang mengandungi makanan asas untuk 32,200 penerima B40, warganegara Malaysia yang bermastautin di Melaka dan inisiatif itu telah dilaksanakan sejak Februari lepas dan masih berlangsung.

"Berita baik untuk anak-anak Melaka, penangguhan bayaran pinjaman wang pengajian tinggi Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka dilanjutkan dari bulan ini hingga Ogos depan, melibatkan 7,634 peminjam yang masih dalam tempoh penjadualan bayaran balik pinjaman dengan implikasi kewangan sebanyak RM1.73 juta,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sulaiman berkata, kerajaan negeri juga menyediakan bantuan tambahan persediaan Aidiladha berjumlah RM200 masing-masing untuk 8,500 ketua isi rumah asnaf Majlis Agama Islam Melaka dengan jumlah keseluruhan RM1.7 juta.

Beliau berkata, bantuan kit makanan asas bernilai RM40 setiap satu akan diagihkan kepada golongan orang asli selama tiga bulan bermula bulan ini, dengan peruntukan berjumlah RM72,000 yang memanfaatkan 600 keluarga.

Katanya, kerajaan negeri juga bersetuju memberikan pengurangan 10 peratus bagi bil air bulan Jun kepada penyewa dan pemilik rumah kos rendah Lembaga Perumahan Melaka, memanfaatkan hampir 20,000 isi rumah.

Selain itu, kerajaan negeri turut menawarkan moratorium 50 peratus daripada kadar bayaran balik pinjaman Dana Hartanah Bumiputera bagi Jun yang memanfaatkan 89 peminjam dengan implikasi kewangan hampir RM19,000.

"Kita juga bersetuju melanjutkan tempoh pembayaran cukai tanah dan cukai petak dari 31 Mei kepada 30 September tanpa denda dan pembayar cukai tidak akan dikenakan denda lewat sekiranya membuat pembayaran cukai tanah dan cukai petak hingga 30 September depan.

"Bayaran insentif secara sekali beri untuk petugas barisan hadapan pihak berkuasa tempatan terdiri daripada penguat kuasa, unit pelesenan, unit kebersihan dan unit kesihatan persekitaran sebanyak RM100 seorang akan disalurkan kepada 554 penerima," katanya.

Sulaiman berkata, kerajaan negeri melalui Syarikat Air Melaka Berhad, tidak akan membuat sebarang pemotongan bekalan air dalam tempoh Jun serta Julai tahun ini dan inisiatif itu melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM20.72 juta melibatkan 184,000 pemegang akaun di seluruh negeri itu. - Bernama