BNM, BOT lancar jalinan pembayaran QR rentas sempadan

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

BANK Negara Malaysia (BNM) dan Bank of Thailand (BOT) telah melancarkan jalinan pembayaran QR rentas sempadan antara Malaysia dan Thailand bagi membolehkan pengguna dan peniaga di kedua-dua negara membuat dan menerima pembayaran rentas sempadan melalui kod QR secara masa nyata.

Dalam satu kenyataan bersama, kedua-dua bank pusat itu berkata, projek yang bermula pada bulan Jun 2020 ini dijangka dilaksanakan dalam tiga fasa.

"Hari ini, fasa pertama berjaya disempurnakan dengan menghubungkan sistem pembayaran runcit masa nyata (RPP), iaitu DuitNow di Malaysia dan PromptPay di Thailand," tambah kenyataan itu.

Di bawah fasa pertama, pengguna di Thailand kini boleh menggunakan aplikasi pembayaran mudah alih mereka untuk mengimbas kod DuitNow QR bagi membuat pembayaran kepada peniaga di Malaysia termasuk untuk transaksi e-dagang rentas sempadan secara dalam talian.

Di bawah fasa kedua yang dijangka disempurnakan pada suku keempat 2021, pengguna di Malaysia boleh menggunakan aplikasi pembayaran mudah alih mereka untuk mengimbas kod Thai QR bagi membuat pembayaran kepada peniaga di Thailand.

Sementara itu, di bawah fasa ketiga yang dijangka mula beroperasi pada suku keempat 2022, jalinan ini akan diperluas untuk merangkumi kiriman wang rentas sempadan yang mana pengguna di kedua-dua negara dapat membuat pindahan dana secara masa nyata dan mudah dengan merujuk nombor telefon mudah alih penerima.

BNM dan BOT berkata, jalinan pembayaran runcit antara Malaysia dan Thailand ini akan berfungsi sebagai pendorong bagi menyokong pemulihan ekonomi pasca pandemik dengan terus memperkukuh hubungan ekonomi antara negara-negara yang mengambil bahagian.

Kedua-dua bank pusat ini menambah kerjasama ini merupakan pencapaian penting dalam inisiatif '’ASEAN Payment Connectivity'’ yang menggalakkan integrasi kewangan serantau melalui peningkatan kecekapan, pengurangan kos dan pengalaman pengguna yang bertambah baik bagi pembayaran rentas sempadan.

Artikel Berkaitan:

Timbalan Gabenor BNM, Datuk Abdul Rasheed Ghaffour berkata, jalinan pembayaran runcit ini akan meningkatkan kecekapan dan memudahkan lagi pembayaran rentas sempadan melalui penyediaan pengaturan pembayaran yang lebih pantas, lebih murah dan lebih inklusif kepada pengguna.

"Jalinan ini akan memberikan lebih banyak pilihan kepada pengguna dan peniaga bagi pembayaran rentas sempadan serta bertindak sebagai penggerak penting bagi memperkukuh kesalinghubungan dan integrasi kewangan serantau," tambah beliau.

Menurut Timbalan Gabenor BOT Ronadol Numnonda, BOT mengakui kepentingan jalinan sistem pembayaran rentas sempadan dan telah berusaha secara berterusan untuk melaksanakan inisiatif seumpama ini.

Kerjasama di antara Payments Network Malaysia (PayNet) dan National ITMX (NITMX) selaku pengendali sistem pembayaran telah berjaya merealisasikan projek ini.

Sementara itu, Bank CIMB Thai dan Public Bank Bhd merupakan dua bank terawal yang menyertai jalinan ini dan telah mula menawarkan perkhidmatan pembayaran rentas sempadan melalui kod QR secara masa nyata kepada pelanggan mereka. - Bernama