TNB agak terlindung daripada risiko permintaan: Maybank IB

Foto bernama
Foto bernama
A
A
A

PENYELIDIKAN oleh Maybank Investment Bank (Maybank IB) yakin Tenaga Nasional Bhd (TNB) agak terlindung daripada risiko permintaan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semasa berbanding PKP kali pertama tahun lepas.

Menerusi nota penyelidikan pada Jumaat, bank pelaburan itu menjelaskan penjanaan Semenanjung Malaysia berkurangan 8.5 peratus pada tempoh PKP yang dilaksanakan mulai 1 Jun, 2021 berbanding penurunan 24 peratus sewaktu PKP pada 2020.

Secara keseluruhan, dianggarkan setiap bulan PKP akan menjejaskan permintaan bagi tahun kewangan 2021 sebanyak 0.7 peratus, menurutnya.

Ia menambah, memandangkan PKP semasa telah berlangsung selama sebulan, permintaan Semenanjung Malaysia masih berada di landasan untuk meningkat pada 2021.

“Tenaga sebahagian besarnya terlindung daripada ketidaktentuan permintaan, dengan hanya segmen “Perkhidmatan Pelanggan” (perolehan tahunan RM1.7 bilion) sahaja terdedah kepada risiko permintaan.

“Baki RM13.8 bilion daripada perolehan terkawal tahunan ditambah baik dengan kekurangan yang boleh dituntut daripada Dana Industri. Sementara itu, isu berkaitan PKP sebelum ini seperti hutang lapuk yang tinggi dan kerugian yang dicatatkan Sabah Electricity tidak begitu teruk kali ini pada pandangan kami,” menurut bank pelaburan itu.

Maybank IB menekankan unjurannya terhadap pendapatan dan harga sasaran RM12 bagi TNB kekal tidak berubah.

“Kami terus menjangkakan kenaikan pendapatan pada 2021 (lanjutan tahun bagi Tempoh Kawal Selia (RP) 2) didorong terma pengawalseliaan yang lebih baik.

Artikel Berkaitan:

“Kami turut menjangkakan TNB tidak berada pada kedudukan kurang memberangsangkan pada RP3 (2022-2024). Kami memilih Tenaga atas faktor kestabilan pendapatan relatifnya,” tambahnya. -Bernama