X

Kindly register in order to view this article
!

2,082 syarikat sudah daftar untuk vaksinasi PIKAS

Mohamed Azmin pada sidang media selepas melawat ke pusat pemberian vaksin (PPV) industri di Kompleks Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) Pengerang, Kota Tinggi, pada Jumaat -Foto Bernama
A
A

KOTA TINGGI - Sebanyak 2,082 syarikat dengan jumlah pekerja seramai 301,050 orang telah berdaftar untuk vaksinasi di bawah Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) setakat Rabu.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, daripada angka itu, sebanyak 255 syarikat membabitkan seramai 14,357 pekerja merupakan pemain industri di Johor.

“Saya berharap program ini akan berjalan lancar dan ia dapat diselesaikan mengikut jadual. Saya mendapat jaminan daripada Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba bahawa bekalan vaksin akan dipertingkatkan dalam bulan Julai dan Ogos.

“Ia sebagai memenuhi keperluan sektor ekonomi kerana hari ini, pelaksanaan PIKAS hanya untuk sektor pembuatan dan perkilangan, selepas ini kami akan teruskan dengan sektor perladangan, pembinaan dan lain-lain,” katanya pada sidang media selepas melawat PPV industri di Kompleks Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) Pengerang di sini pada Jumaat.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan menyarankan PPV industri Covid-19 di bawah PIKAS untuk turut memberikan vaksinasi kepada keluarga dan komuniti di kawasan sekitar industri, selain daripada pekerjanya dalam usaha membantu mempercepat vaksinasi kepada rakyat bagi mencapai imuniti kelompok.

“Ini kerana PPV industri ini telah sedia ada... mereka (pihak swasta) juga telah bersedia untuk memanjangkan perkhidmatan ini kepada keluarga pekerja-pekerja mereka dan juga masyarakat tempatan di sekitar kawasan PPV tersebut, “ katanya yang turut menjamin bahawa proses itu akan diberi secara percuma.

Dalam perkembangan lain, Mohamed Azmin berkata, sebanyak tiga lagi PPV industri dirancang untuk beroperasi di Pulau Pinang dalam masa terdekat untuk membantu mempercepat vaksinasi kepada golongan pekerja industri.

“CITF (Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19) dan pasukan MITI akan turun ke lapangan untuk melihat kemudahan, sekiranya memenuhi syarat yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan, maka tiga tambahan ini akan diluluskan dalam satu dua hari ini,” katanya.

Untuk rekod, sebanyak tiga PPV di tapak (on-site) dan enam PPV penggunaan umum (common use) telah ditubuhkan di bawah PIKAS setakat ini.

PIKAS dilancar pada 12 Jun lalu, dilaksanakan sebagai langkah responsif kepada cadangan daripada persatuan industri, dewan perniagaan serta Perusahaan Kecil dan Sederhana untuk membantu mempercepat vaksinasi khususnya pekerja, dengan vaksinasi dijalankan di premis kilang dan lokasi perindustrian yang dikenal pasti.- Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!