X

Kindly register in order to view this article
!

Bekalan sayur cukup, elak pembelian panik

KPDNHEP menasihatkan pengguna supaya tidak melakukan pembelian panik kerana bekalan sayur di pasaran stabil dan mencukupi.
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menasihatkan pengguna supaya tidak melakukan pembelian panik kerana bekalan sayur di pasaran stabil dan mencukupi.

Kementerian itu dalam kenyataan pada Jumaat turut memaklumkan, kawasan pertanian sayuran di Cameron Highlands, Pahang dan Lojing, Gua Musang, Kelantan beroperasi seperti biasa tanpa sebarang isu pengangkutan serta pengedaran.

"Semua kawasan tanaman sayur selain Kampung Raja di Cameron Highlands, Pahang telah beroperasi seperti biasa," katanya.

Menurut kenyataan itu, hanya sekitar 30 hingga 40 peratus bekalan sayur di tanah tinggi itu dikeluarkan dari ladang Kampung Raja yang kini di bawah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

"Peratusan ini tidak akan menjejaskan bekalan sayur di pasaran. Kerajaan akan mengambil langkah segera bagi memastikan pengurusan tanaman ladang serta proses membawa keluar hasil pertanian daripada Cameron Highlands dapat berjalan seperti biasa," kata dalam kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu lagi Pegawai penguatkuasa KPDNHEP di seluruh negara akan terus menjalankan pemantauan ke atas bekalan dan harga sayur-sayuran di pasaran.

Penguatkuasaan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 dilaksanakan jika terdapat mana-mana pihak yang sengaja mengambil keuntungan secara tidak munasabah atau mencatut.

Selain itu, KPDNHEP turut mengusulkan suntikan vaksin kepada peladang dan pekerja dapat dilaksanakan secepat mungkin.

Kerajaan pada Selasa memutuskan untuk membenarkan sektor pertanian dan rantaiannya di Cameron Highlands beroperasi walaupun dalam pelaksanaan PKPD bagi menjamin bekalan tidak terganggu.

Ia selaras dengan keputusan kerajaan meletakkan sektor pertanian, perikanan dan penternakan serta rantaiannya sebagai satu perkhidmatan perlu.

Pengusaha ladang sayuran berdepan dengan masalah diperingkat pemasaran dan penghantaran ke pasar susulan pelaksanaan PKPD di beberapa kawasan di Cameron Highlands bermula 14 hingga 27 Jun.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!