X

Kindly register in order to view this article
!

Dijanji komisen tinggi, ahli perniagaan rugi RM74,000

A
A

BALIK PULAU - Seorang ahli perniagaan mengalami kerugian sebanyak RM74,000 selepas diperdaya oleh sindiket Love Scam di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, wanita berusia 47 tahun itu mendakwa dia mengenali seorang lelaki yang kononnya berasal dari Amerika Syarikat melalui laman Facebook pada April lalu.

Menurutnya, hubungan mangsa dan suspek berjalan seperti biasa sejak sebulan perkenalan mereka.

"Suspek kemudiannya mengadu kepada mangsa kononnya projek cari galinya di Itali memerlukan sejumlah wang bagi tujuan membaiki tapak projek. Suspek meminta pertolongan mangsa dan berjanji untuk memulangkan semula wangnya dengan komisen yang tinggi.

"Mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa telah membuat tujuh pindahan wang secara online ke dalam dua akaun dengan jumlah keseluruhan RM74,000," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Mangsa telah berkahwin dengan warga tempatan namun suaminya terkandas di China sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Mangsa tidak menyedari ditipu sehingga dia menceritakan perkara itu kepada rakannya. Rakannya yang meragui cerita mangsa telah menyemak profil suspek dan mendapati gambarnya turut digunakan di akaun Facebook lain yang dipercayai palsu.

"Mangsa kemudiannya membuat laporan polis selepas yakin ditipu oleh suspek. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!