Maqis rampas produk babi sejuk beku dari Belgium

Sebuah kontena yang mengandungi produk babi sejuk beku yang dirampas oleh Maqis.
Sebuah kontena yang mengandungi produk babi sejuk beku yang dirampas oleh Maqis.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) berjaya mematahkan cubaan membawa masuk produk babi sejuk beku seberat 21,190.64 kilogram yang dianggarkan bernilai RM111,626.41 dari Belgium pada Rabu.

Pengarah Maqis Johor, Hizzuan Hasim berkata, penguat kuasa telah menahan sebuah kontena yang membawa produk itu pada jam 10.15 pagi melalui pemeriksaan rutin di Pelabuhan Tanjung Pelepas.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati pengisytiharan yang dilakukan mengelirukan pihak berkuasa iaitu alamat pengimport pada permit Maqis dan borang K1 berbeza dengan alamat pada Sijil Kesihatan Veterinar yang telah diikrarkan.

"Maqis bertindak merampas kesemua produk babi sejuk beku itu untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Jelasnya, kes tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 13 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] kerana melakukan pengisytiharan yang mengelirukan pihak berkuasa.

Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya dan bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya didenda tidak melebihi RM75,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

"Maqis menasihatkan semua pengimport dan pengeksport sentiasa mengikut peraturan yang telah ditetapkan oleh kerajaan agar kawalan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan serta jaminan keselamatan makanan terpelihara di Malaysia," katanya.

Artikel Berkaitan: