X

Kindly register in order to view this article
!

Warisan junjung kasih keputusan Majlis Raja-Raja Melayu

A
A

KOTA KINABALU - Parti Warisan Sabah (Warisan) menjunjung kasih keputusan Majlis Raja-raja Melayu yang telah menyatakan dengan jelas supaya tempoh darurat tidak disambung apabila tamat pada 1 Ogos depan.

Warisan dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan, keputusan itu jelas bahawa Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja-raja Melayu amat prihatin terhadap kepayahan rakyat ketika berdepan wabak Covid-19.

Menurut kenyataan itu, keputusan yang dizahirkan secara bersama oleh Majlis Raja-Raja tepat kerana sepanjang tempoh darurat angka korban Covid-19 yang direkodkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) tidak menunjukkan penurunan.

"Sebaliknya kes positif semakin bertambah saban hari. Situasi ini amat membimbangkan bukan hanya memberi kesan yang teruk kepada keadaan ekonomi negara malah institusi kesihatan serta keselamatan rakyat juga terjejas," kata kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menyebut bahawa banyak negara lain di dunia yang tidak berada dalam pemerintahan darurat tetapi masih mampu mentadbir dan membendung penularan pandemik Covid-19 dengan.

"Melalui pembukaan semula Dewan Rakyat bagi membolehkan sidang Parlimen diadakan, perbincangan Ordinan-Ordinan Darurat serta Pelan Pemulihan Negara terutama yang melibatkan perbelanjaan berkaitan Covid-19 juga akan dapat diteliti dan disemak imbang dengan lebih berkesan supaya benar-benar memberi manfaat kepada rakyat khususnya," kata kenyataan itu.

Pada 10 Jun lalu, Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal antara 18 pemimpin politik yang hadir menghadap Yang di-Pertuan Agong.

ARTIKEL BERKAITAN: Raja-raja sokong pendirian Agong, setuju darurat ditamatkan selepas 1 Ogos


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!