Lelaki tidak mengaku miliki 58 pakaian dalam wanita

Pelayan restoran, Ong Kok Thye, 23, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memiliki 58 helai pakaian dalam wanita di rumahnya. -Foto Bernama
Pelayan restoran, Ong Kok Thye, 23, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memiliki 58 helai pakaian dalam wanita di rumahnya. -Foto Bernama
A
A
A

PETALING JAYA – Seorang pemuda mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat, atas pertuduhan gagal memberi keterangan berhubung penemuan 58 pakaian dalam wanita di rumahnya, Selasa lalu.

Ong Kok Thye, 23, yang juga pelayan restoran, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret M Barath.

Mengikut pertuduhan, Kok Thye didakwa miliki 58 pakaian wanita seperti seluar dalam, baju dalam dan seluar pendek yang mana tertuduh tidak dapat memberi keterangan yang memuaskan bagaimana kesemua pakaian tersebut diperoleh.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah unit kondominium, di Dataran Mentari di sini pada jam 12.35 tengah hari pada 15 Jun lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 yang membawa hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Sharifah Zafirah Syed Mustapa mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM1,000.

Mahkamah kemudian tidak membenarkan tertuduh diikat jamin berikutan tiada penjamin yang hadir.

Mahkamah kemudian menetapkan 9 September depan untuk sebutan semula kes.

Artikel Berkaitan:

Pada Khamis, media melaporkan seorang lelaki ditahan polis selepas disyaki mencuri sejumlah pakaian seorang wanita termasuk pakaian dalam di sebuah kondominium.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhruddin Abdul Jalil, berkata perbuatan suspek dikesan mangsa, seorang wanita berusia 35 tahun yang melihatnya berlegar-legar di ruangan lif kawasan rumahnya sebelum memaklumkan kepada pihak polis.